Suatu Kesilapan Yang Tidak Dapat Disangkal
"Jadikan Al-Quran sebagai pegangan hidup anda
atau Berpeganglah kepada Al-Quran dalam hidup anda."
Bacalah & Fikirkan!
UNTUK RENUNGAN ANDA...
Pesanan: Murid Furqan Mac 2007
Dengan nama Allah (SWT) yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang
Salawat dan Salam keatas Junjungan Besar Nabi Muhammad (SAW),
para sahabat dan kaum keluarganya.
MUKADIMAH
Majoriti besar umat Islam di-abad ke-21 kini telah kabur di persimpangan jalan dalam mencari pedoman / petunjuk. Semuanya disebabkan oleh kesilapan yang tidak sengaja, yang terjadi pada masa lampau, melalui usaha dan amal terutamanya Tokoh-tokoh Agama, tanpa disedari, menyebabkan pemikiran umat Islam terbuntu. Inilah pandangan saya, apabila saya menganalisa bentuk kelakuan, sikap dan pemikiran orang Islam di sekeliling saya, rakan-rakan Muslim termasuk kaum keluarga dan sanak-saudara.
Saya pernah terbabit dalam penyelidikan dan pengurusan bidang Kejuruteraan Elektrik dan Tenaga selama lebih 30 tahun, dan pada masa ini saya masih terlibat dalam bidang tersebut, walaupun tidak sepenuhnya. Dengan latar belakang Peyelidikan & Pembangunan (R&D), saya teringat suatu ketika dahulu ketika saya cuba memahami makna Hakikat Kewujudan diri dan Alam dari kedua-dua perspektif Sains dan Islam. Bagaimanapun, sepanjang pengajian bidang ini yang memakan masa lebih 25 tahun, saya menemui beberapa perkara yang menakjubkan iaitu, norma-norma yang tidak sihat telah tertanam dalam ruang minda umat Islam. Keadaan ini menjadi lebih jelas apabila saya membaca terjemahan Al-Quran. Saya bukan berbangsa Arab dan saya tidak tahu bahasa Arab tetapi saya mendapat pengetahuan tentang Al-Quran menerusi terjemahan Al-Quran dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu.
Soalan Pertama: Apakah yang saya lihat dalam minda umat Islam? Malangnya, amat sukar untuk mengetahui di sebaliknya melainkan apa yang digambarkan melalui perwatakkan, sikap dan tingkah laku kebanyakan umat Islam secara umum. Semuanya tidak melambangkan yang positif dengan sedemikian saya beranggapan perkara ini disebabkan oleh cara kita melatih minda kita dan anak-anak kita dan cara orang-orang tua kita melatih kita. Sebagai mukadimahnya, saya menyatakan bahawa tiga aspek penting untuk umat Islam belajar Al-Quran adalah MELAFAZ, MEMBACA dan MEMAHAMInya, tetapi sayang, tidak dilakukan dan diseimbangkan dengan sebaik-baiknya. Inilah pembuntu minda orang Islam yang terbesar! Oleh itu, apakah maksudnya dan apakah yang sepatutnya kita lakukan - Bacalah seterusnya!
Dalam banyak abad, bahasa Arab adalah bahasa umum di dalam dunia Islam. Kedatangan serangan hebat penjajahan menyebabkan bahasa ini hampir pupus dan hanya digunakan di beberapa buah negara yang tidak terjejas akibat penjajahan. Bagaimanapun, dalam rumah orang Islam bahasa Arab masih kekal dalam bentuk Al-Quran, Kitab Suci Allah (SWT). Al-Quran adalah kitab yang dipelihara oleh Allah (SWT) dan masih kekal keseluruhan isi kandungannya tanpa berubah dalam teks bahasa Arab yang asal sejak lebih 1,400 tahun.
Sebenarnya, daripada 1.2 bilion umat Islam di dunia pada hari ini, bayi di kecualikan, semua daripada mereka boleh melafaz Al-Quran sedikit sebanyak. Setiap rumah orang Islam mempunyai senaskhah Al-Quran atau lebih, diletakkan di atas rak atau almari atau di dalam laci. Setiap hari Al-Quran dibuka dan dilafaz. Sembahyang (solat) umat Islam juga dilafaz dalam bahasa Arab kerana kebanyakkan bacaan dalam solat adalah daripada Al-Quran. Malahan doa (selepas solat) juga dilafaz dalam bahasa Arab. Sebahagian besar khutbah adalah dalam bahasa Arab. Oleh itu dari segi istilah MELAFAZ, Al-Quran adalah satu-satunya kitab yang amat dilafaz di dunia ini. Tiada yang setanding dengannya.
Al-Quran adalah petunjuk daripada Rabul Jalil untuk seluruh Umat Manusia dan Jin. Ianya adalah suatu rahmat daripada Dia, Al-Quran merupakan kitab panduan yang mengandungi cara hidup untuk diikuti oleh semua umat Islam dan mereka yang percaya kepada Pencipta yang Esa. Memetik ayat-ayat daripada Al-Quran:
Al-Quran itu tidak lain hanyalah petunjuk bagi semesta Alam.
(Surah At Takwir : 27)
Semasa Al-Quran mula diturunkan, perkataan pertama adalah "lqra" yang bermaksud "Bacalah!". Al-Quran merupakan kitab pedoman/petunjuk bagi semua umat manusia dan dengan itu bahasa bukanlah penghalang bagi memahami isi kandungannya. Bagaimana jika ia berlaku sebaliknya? Tidak diragui lagi bahawa bahasa pertama Al-Quran ialah bahasa Arab (dan masih kekal sehingga sekarang) dan malah ia dalam bentuk bahasa yang indah iaitu Arab klasik. Malangnya, terjemahan Al-Quran dibuat terlalu lewat. Orang Arab tidak menghiraukan untuk menterjemahkan Al-Quran. Mengapa mereka perlu berbuat demikian? Kerana kebanyakkan negara bertamadun pada masa yang lampau menggunakan bahasa Arab. Oleh itu, mereka membiarkan bukan bangsa Arab yang menterjemahkannya. Pada hari ini, Al-Quran mempunyai terjemahan dalam hampir setiap bahasa di dunia. Tetapi ironinya, majoriti umat Islam percaya kepada kesucian Al-Quran hanya apabila Al-Quran di dalam bahasa Arab, dan dengan itu mereka tidak begitu menghiraukan terjemahannya. Hal ini selanjutnya dibesarkan lagi terutama oleh para sarjana Arab, dan guru-guru agama (yang terlatih dalam bahasa Arab) yang mempunyai agak sangat sedikit perhatian dan timbang rasa terhadap jemaah mereka yang tidak memahami bahasa Arab. Sebahagian besar ceramah dan khutbah mereka, mereka hanya merapu dalam bahasa Arab.
Soalan Kedua: Berapa ramaikah umat Islam memahami ajaran yang dibawa oleh Al-Quran atau tahu untuk mengamalkan panduan hidup seperti yang terdapat di dalamnya? Ini merupakan soalan yang paling menarik!
Secara purata umat Islam percaya sepenuhnya kepada Al-Quran, bahawa ia adalah Kitab Wahyu dan melafaznya setiap hari bermakna mendapat pahala daripada Raja Sekelian Alam. Tetapi perkataan "MEMBACA!" telah disalah faham ertinya dengan perkataan "MELAFAZ" dan dengan demikian berkurun-kurun lamanya melafaz Al-Quran telah menjadi kebiasaan sehingga ramai umat Islam lupa untuk MEMBACA nya! Tidak hairanlah, pada hari ini, ramai ahli tahfiz (mereka yang menghafal Al-Quran) tidak tahu apa yang mereka hafalkan dan bacakan walaupun setelah bertahun-tahun kononnya belajar Al-Quran.
Jelas bahawa semasa bahasa Arab dituturkan oleh majoriti umat Islam, istilah melafaz hampir sama maknanya dengan membaca. Apabila seseorang itu melafazkannya memahami juga apa yang di lafaz. Bagaimanapun, pada hari ini, dengan ketiadaan bahasa Arab sebagai bahasa kedua, MELAFAZ sahaja dalam bahasa Arab, bermaksud tiada ruang bagi seseorang untuk memahami ajaran-ajaran di dalam Kitab Suci Al-Quran. Lebih teruk lagi, tiada apa yang boleh difahami tentang ajaran-ajaran Al-Quran untuk digunakan sebagai panduan dalam hidup umat Islam.
(Catatan: kurang daripada ¼ umat Islam di dunia terdiri daripada bangsa Arab dan bukan semua orang Arab boleh memahami bahasa Al-Quran yang klasik).
Tidak hairanlah bahawa umat Islam pada hari ini berada dalam pergolakan. Hanya segelintir dari mereka yang mengendahkan terjemahan Al-Quran, tetapi sebahagian besar daripada umat Islam pada hari ini telah hilang pedoman /petunjuk dan haluan yang asal. Mereka mempunyai buku panduan yang agung, yang di buka setiap hari, mereka melafaz ayat-ayatnya dalam solat dan doa, tetapi mereka sukar memahaminya sejak MELAFAZ menjadi norma dalam pembelajaran Al-Quran.
Mari kita lihat kembali Al-Quran sebagai pedoman/pertunjuk. Kita perhatikan apa yang diperkatakan di dalam Al-Quran tentang memahaminya:
- Bahkan (yang di dustakan mereka itu) ialah Al-Quran yang tersimpan dalam Lauh Mahfuz. (Surah Al-Buruj 21:22)
- Kitab Al-Quran ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa. (Surah Al-Baqarah: 2)
- Maka apakah mereka tidak memperhatikan Al-Quran ataukah hati mereka terkunci? (Surah Muhammad: 24)
- Orang-orang yang telah Kami berikan Al Kitab kepadanya, mereka membacanya dengan bacaan sebenarnya, mereka itu beriman kepadanya; Dan sesiapa yang ingkar kepadanya, maka mereka itulah orang-orang yang rugi. (Surah Al-Baqarah: 121)
- Dan demi sesungguhnya telah Kami mudahkan Al-Quran untuk peringatan dan pengajaran, maka adakah orang yang mengambil peringatan dan pelajaran? (Surah Al-Qamar: 17, 32 dan 40)
APAKAH YANG TERJADI?
Normanya: Al-Quran hanya untuk DILAFAZ. Perkataan MEMBACA walau bagaimanapun tidak digunakan dalam keadaan ini. Dari itu, manakah datangnya amalan ini? Hanya Allah (SWT) yang tahu!
Dari zaman kanak-kanak ke zaman remaja, seterusnya ke zaman dewasa, kemudian ke usia tua, purata umat Islam tidak memahami Al-Quran langsung! Mereka hanya mengikut fi’il burung kakak tua. Mereka tidak tahu ajaran-ajarannya secara langsung daripada Kitab Suci Al-Quran, tetapi medapat panduan menerusi pembacaan buku-buku lain dan mendengar daripada Mullah, atau ustaz-ustaz yang sebaik mungkin menyampaikan ajaran-ajaran Al-Quran. Realitinya, apa yang mereka belajar daripada Al-Quran adalah sekelumit dan secebis sahaja melalui tekaan dan mugkin penuh dengan salah faham yang tidak dapat dielakkan. Apakah yang anda dapat dengan hanya mendengar dan kebanyakan yang didengar adalah daripada sumber-sumber yang boleh diragui ? Pemesongan ilmu agama terdapat dalam banyak bentuk.
Masalah yang kita hadapi ialah orang Islam tidak memahami Al-Quran, dan disamping itu menganggap bahawa mereka mengetahui ajaran-ajaran yang terkandung di dalamnya, tetapi sebenarnya tidak! Sebenarnya sebahagian besar umat Islam adalah jahil dalam memahami Al-Quran. Pada hakikatnya, apabila mereka kembali menemui Allah (SWT), hanya sedikit yang mereka tahu tentang ajaran Al-Quran dan perutusannya. Mereka ta’at kepada agama mereka, tetapi dengan cara yang jahil. Mereka sepatutnya mampu memahami ajaran Al-Quran dengan sepenuhnya, tetapi secara tidak sengaja mereka amat cetek dalam ilmu pengetahuannya. Adakah minda mereka telah tertutup atau pun hati mereka terkunci?
Dan berkatalah Rasulullah (SAW):
"Ya Tuhanku! Sesungguhnya kaumku menjadikan Al-Quran ini suatu yang tidak di endahkan." (Surah Al-Furqan : 30)
Adakah patut Al-Quran menjadi "suatu yang tidak diendahkan" bagi umat Islam? Kita, kononnya membaca kandungannya setiap hari, tetapi kita tidak tahu apakah maksud yang kita baca!
Setiap orang Islam yang akil baligh mesti berkeinginan untuk mengetahui Al-Quran dan memahami ajaran yang terkandung di dalamnya serta membuat amalan yang balk mengikut ajaran Islam. Bagaimanakah seseorang itu boleh memahami sesuatu perkara jika jejaknya ibarat burung kakak tua, yang cuba untuk memahami perkataan-perkataan yang diungkapkan dalam bahasa manusia? Inilah "buta huruf" yang paling nyata atau lebih tepat disebut sebagai "buta Al-Quran". Sepanjang berkurun-kurun berlalu kesalahan menggunakan perkataan "MELAFAZ" bagi "MEMBACA" masih berterusan sehingga ke hari ini.
BAGAIMANAKAH UMAT ISLAM HARI INI?
Dengan tidak menggunakan Al-Quran sebagai Pedoman/Petunjuk dan memahami kandungannya dan meletakkannya sebagai asas kepada kehidupan, berikut adalah hasilnya:
- Daripada 1.2 bilion umat Islam di dunia, lebih daripada 1/3 adalah buta huruf (mungkin lebih daripada 1 bilion buta Al-Quran).
- Majoriti umat Islam di seluruh dunia hidup dalam kemiskinan.
- Dalam kebanyakan negara Islam, budayanya masih berasaskan budaya perkauman dan tradisi perkauman turun-temurun. Undang-undang perkauman diambil sebagai "undang-undang Islam" dan ia mengalahkan undang-undang Al-Quran. Mereka yang berilmu daripada satu-satu kaum itu akan mengisytiharkan bahawa undang-undang perkauman mereka adalah undang-undang Islam sebenar. Inilah yang dikatakan (Adat dijunjung, Agama disinggung).
- Kejadian rasuah paling tinggi berlaku di negara-negara Islam.
- Kejadian rogol dan sumbang mahram paling tinggi berlaku dalam kalangan masyarakat Islam.
- Penganiayaan terhadap wanita semakin menjadi-jadi. Budaya dan sikap cauvinis telah membawa ke arah gejala ini. Sekali lagi kepercayaan yang salah umat Islam bahawa "inferior nya" kaum wanita selama berabad-abad adalah bercanggah dengan apa yang dinyatakan di dalam Al-Quran.
- Penganiayaan terhadap kanak-kanak juga menjadi-jadi. Selain wanita, kanak-kanak lelaki juga digunakan untuk tujuan seks liwat, yang menggambarkan ciri-ciri budaya umat yang "jahil".
- Membunuh sesama umat Islam dalam peperangan yang tidak diisytiharkan. Membunuh umat manusia yang tidak berdosa di mana-mana tempat di dunia atas nama Islam adalah ciri-ciri kehidupan hari ini.
Umat Islam pada hari ini sangat keliru. Kitab Pedoman/Petunjuk telah menjadi kitab yang "virtual" hanya untuk dilafaz dan bukan dibaca dan difahami. Ajaran Al-Quran telah selesai diturunkan melalui Wahyu. Malangnya proses sebaran Wahyu yang agung terhenti dengan datangnya bahasa dunia yang baru. Secara metafornya, ayat-ayat Al-Quran telah lenyap, bukan daripada muka surat Kitab Suci tersebut, tetapi daripada minda ramai umat Islam. Mengapa tidak, apabila setiap baris Al-Quran yang mereka lafaz, tiada suatu pun makna yang masuk ke minda mereka? Bukan itu sahaja, umat Islam menyimpan dalam memori mereka setiap ayat Al-Quran, seperti kanak-kanak yang mengingati lagu kanak-kanak tetapi tidak pernah mengetahui makna lagu tersebut. Bagaimanakah mereka boleh meresapkan pengetahuan ilmu Al-Quran ke dalam kehidupan harian mereka dan berpegang kepada prinsip yang terkandung di dalamnya?
ADAKAH UMAT ISLAM MENGETAHUI AJARANNYA?
Umat Islam pada hari ini ialah umat Islam keturunan. Islam pada zaman sekarang ialah agama yang diwariskan daripada ibu bapa kepada anak-anak dan kepada cucu-cucu dan seterusnya. Cara hiclup Islam kemudian diturunkan melalui lisan daripada generasi tua, Mullah dan Ustaz (guru agama) menerusi pengajaran di rumah, surau dan masjid. Selama berabad-abad, ajaran yang berlainan telah menjalar ke dalam ajaran Islam. Ini adalah disebabkan oleh faktor alim ulama' lampau yang tidak boleh mengongkong keinginan nafsu dan juga kejahilan umat Islam yang tidak memberi perhatian yang benar terhadap Al-Quran.
Memetik Al-Quran:
- Sesungguhnya (agama tauhid) ini adalah agama kamu semua, agama yang satu dan Akulah Tuhanmu; maka bertakwalah kepadaKu.
- Kemudian mereka (pengikut rasul-rasul itu) mejadikan agama mereka berpecah-belah mejadi beberapa pecahan, tiap-tiap golongan merasa bangga bergembira dengan apa yang ada pada mereka (masing masing).
- Maka biarkanlah mereka dalam kesesatannya itu sampai suatu waktu.
(Surah Al-Mu'minun: 52 - 54)
Kesimpulannya, ramai umat Islam pada hari ini tidak mengenal Al-Quran mahupun mengikut jalan yang dibentangkan oleh Rasulullah (SAW), walaupun diri baginda itu melambangkan Al-Quran.
Bayangkan apabila seseorang Muslim itu mengerjakan solat dan ia hanya membaca ayat-ayat Al-Quran tanpa mengetahui apa yang dibacanya.
Menurut Al-Quran:
- Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu solat sedangkan kamu dalam keadaan mabuk, sehingga kamu mengerti apa yang kamu ucapkan ...
(Surah An Nisa: 43)
Daripada ayat-ayat Al-Quran diatas dan implikasinya terhadap umat Islam umumnya, apa yang boleh kita katakan?
BAGAIMANA KITA SEPATUTNYA MEMBACA TERJEMAHAN AL-QURAN?
Al-Quran ialah Kitab Pedoman/Petunjuk yang indah. Al-Quran mengkisahkan banyak cerita/peraturan untuk diikuti, menerangkan tentang fiil manusia, menyatakan fakta-fakta saintifik, dan sebagainya. Semasa membaca terjemahan Al-Quran, lebih baik pada mulanya membaca teks terjemahan sahaja dan tidak membaca ulasannya atau tafsirnya. Selepas membaca beberapa kali, tandakan ayat-ayat yang anda anggap penting dan serlahkan yang mana perlu. Hanya selepas anda memahami kandungannya dengan baik, barulah anda membaca tafsirnya kerana dikhuatiri berlakunya salah faham.
Hadis Rasulullah (SAW) menyebut:
- Jika hadith dikatakan daripadaku dan jika ia bersama Al-Quran, terimalah ia. Bagaimanapun, jika hadith dikatakan daripadaku dan ia tidak bersama dengan AlQuran, tinggalkan ia. - (Jaafar Siddik)
Hadith di atas adalah TAPISAN utama kepada segala ulasan/tafsiran terhadap Al-Quran yang mungkin tersilap sama ada secara sedar atau tidak. Tambahan itu, apa-apa berkaitan dengan agama yang anda baca, dengar atau belajar, amalkan Al-Quran sebagai tapisan anda, dengan itu anda akan selamat. Pada masa ini terlalu ramai orang menggunakan ayat-ayat Al-Quran yang tidak lengkap atau di tokok tambah atau di kerat-kerat untuk kepentingan peribadi. Tambahan pula, banyak Hadith dan Sunnah yang bertentangan dengan prinsip Al-Quran di sebarkan. Juga sering bahan penulisan Israiliat di katakan bahan Al-Quran. BERWASPADALAH ! kerana hanya dengan kefahaman ilmu pengetahuan Al-Quran di dada, barulah boleh anda menangkis gejala sedemikian.
APA YANG BOLEH KITA LAKUKAN?
Terjemahan Al-Quran kini amat banyak. Oleh itu, saya berpendapat adalah menjadi tugas kerajaan, masyarakat, pemimpin politik, dan organisasi Islam serta Mullah dan Ustaz, keluarga dan individu, untuk:
- mengubah cara umat Islam menganggap Al-Quran dan terjemahannya. Inilah masanya untuk umat Islam, dari kanak-kanak hingga dewasa, memahami maksud ayat-ayat dan ajaran Al-Quran.
- Di masjid dan surau, selain membaca Al-Quran (dalam bahasa Arabnya) dalam solat, semua doa dan lain-lain hendaklah dibaca dalam bahasa ibunda jemaah. Membaca Al-Quran di ruang awam hendaklah disertakan dengan terjemahannya.
- Setiap pelajar baligh di sekolah atau di pengajian tinggi di beri senaskah terjemahan Al-Quran dengan percuma. Kelas memahami Al-Quran di adakan.
Hal tersebut diatas boleh menggalakkan pembelajaran bahasa Arab tetapi apa yang penting sekarang adalah untuk menyebar kembali ajaran-ajaran tulen yang dibawa oleh Nabi Muhammad (SAW) ke seluruh dunia.
Dunia berada dalam keadaan huru-hara dan umat Islam mempunyai cara untuk memperoleh keamanan bagi diri mereka dan seluruh umat manusia. Al-Quran adalah penyelamat apabila al-Quran diletakkan di hati manusia dan semuanya akan diberi Petunjuk oleh Al-Quran. Sekian, wallahua'alam!
Jadikan Al-Quran sebagai pegangan hidup anda
atau
Berpeganglah kepada Al-Quran dalam hidup anda.
"Bacalah & Fikirkan!
No comments:
Post a Comment