Thursday, March 18, 2010

Mengapa menghafal lafaz-lafaz Al-Quran?

Mengapa menghafal kata-kata?

Adalah satu kenyataan bahawa kanak-kanak tidak mula belajar bahasa ibu mereka dengan tatabahasa. Lebih tepat lagi, mereka belajar kata-kata dan mula bercakap dengan koleksi kata-kata yang ada dalam memori mereka. Mereka terus menerus belajar dan memahami makna kata-kata baru dan menghafalnya. Seterusnya mereka mengambil dari sumber perbendaharaan kata (vokabulari) mereka, bila-bila diperlukan, untuk menyatakan perasaan mereka. Jadi, membina vokabulari yang cukup besar haruslah merupakan langkah pertama untuk kita mempelajari sesuatu bahasa yang lain.

Selanjutnya, kita harus belajar penggunaan kata-kata itu secara tepat. Kata-kata dengan dua atau lebih makna boleh menimbulkan beberapa kesulitan, tetapi boleh diatasi dengan penggunaan kaedah tertentu. Ada banyak perkataan dalam Bahasa Arab yang mempunyai beberapa makna, tetapi anda tidak perlu bimbang tentang perkara ini. Diperingkat permulaan, anda hanya perlu cuba untuk menghafal makna khususnya, sesuai dengan penggunaan yang sempurna seperti yang dicontohkan dalam Al-Quran.

Saya menyarankan anda mengikuti pelajaran-pelajaran tentang tatabahasa Bahasa Arab Al-Quran secara ringkas seperti yang dibentangkan dalam lamanweb ini secara berhati-hati, termasuk panduan-panduan menterjemah yang diselang-selikan dengan pelajaran-pelajaran menterjemah Al-Quran ayat demi ayat bermula dengan pelajaran menterjemah lafaz-lafaz dari Surah 1, iaitu dengan terlebih dahulu menghafal makna perkataan-perkataannya secara berperingkat-peringkat sebelum berpindah ke laman kitab Al-Quran untuk menterjemah ayat-ayat yang berkenaan. Untuk kepuasan anda, bandingkan terjemahan anda dengan beberapa kitab terjemahan Al-Quran yang telah diktiraf (popular). Dengan demikian, rasa takut membuat kesalahan akan menghilang, dan anda akan didorong untuk meneruskan pengajian secara beristiqamah. Akhirnya akan datang suatu masa apabila anda akan mampu menterjemah ayat-ayat Al-Quran secara terus. Setelah mencapai tahap ini, anda akan memahami makna dan maksud Al-Quran itu ketika anda membacanya, insya-Allah.

Hati anda akan merasakan kesucian Ilahi dan terpesona dengan keanggunan sastera Al-Quran yang menawan. Jangan lupa bahawa saat anda hendak membaca Al-Quran, pastikan anda berdoa kepada Allah untuk membantu anda bertindak sesuai dengan ajaran-ajarannya. Perlu diingat bahawa Allah adalah Guru Al-Quran. Tanpa bantuan-Nya, tidak ada yang mungkin berhasil dan semua usaha kita akan berakhir dengan sia-sia. Allah mendengar semua doa kita, oleh itu selalulah berdoa kepada-Nya untuk mendapatkan bimbingan dan pengetahuan. Wassalaam!



Kaedah pelajaran menterjemah Al-Quran (secara persendirian)

Kamus Harfiyyah (Vokabulari) Al-Quran ini disediakan sebagai rujukan bagi mereka yang telah mengikuti pelajaran menterjemah Al-Quran secara harfiyyah (lafaz demi lafaz) melalui lamanweb ini.

Setelah selesai mengikuti pelajaran-pelajaran setakat yang telah dibentangkan, para pelajar seharusnya telah dapat memahami kaedah-kaedah penterjemahan yang diajarkan dan dengan menggunakan kamus harfiyah ini sebagai panduan, para peserta kursus bolehlah membuat terjemahan sendiri mengikut kaedah yang telah di pelajari dan di amalkan selama ini, iaitu:-

Langkah Pertama
Baca Ayat-Ayat yang hendak dipelajari dengan merujuk kepada halaman al-Quran anda sendiri.

Langkah Ke-2
Hafalkan makna kalimah-kalimah dalam bahagian Surah yang hendak dipelajari mengikut senarai Vokabulari Harfiyah Al-Quran yang disediakan.

Langkah Ke-3
Setelah berjaya menghafal makna kalimah-kalimah berkenaan, anda bolehlah membuka kitab Al-Quran anda dan membaca Ayat-Ayat yang sama dengan menyebut setiap kalimah diikuti dengan terjemahannya satu demi satu kemudian diulang beberapa kali sehingga mahir.

Langkah ke-4
Baca semula rangkapan Ayat-Ayat itu dengan sempurna dan terjemahkan terus dari awal hingga akhir Ayat.

Langkah ke-5
Untuk mendapatkan bandingan terjemahan mengikut Tatabahasa Bahasa Malaysia, anda boleh mendapatkan kitab-kitab terjemahan Al-Quran yang ada dipasaran ataupun melalui salah satu lamanweb yang popular di internet. Saya syorkan lamanweb berikut:-

http://www.islamicity.com/QuranSearch/

No comments: