Wednesday, November 25, 2009

LughaatulQuran - Lampiran 1

PERBINCANGAN MAKNA KATA-KATA DARI AL-QURAN
(Lampiran kepada buku Luzaatul Quran)



أرك

Perkataan ‘al-arak’ bermakna ‘sejenis bahan mentah’. Dalam al-Quran ayat ‘muttakeyeena feeha ‘alal araaiki’ memberi erti ‘mereka akan berehat diatas tempat pembaringan dengan bantal-bantal atau kusyen’ yang bermaksud ‘mereka akan berehat dengan selesa’. Menurut Ibnu Faris makna asas adalah ‘beristirehat’. Disamping itu ‘arak’ juga bermakna sejenis ‘kayu atau pokok’ dan ‘arak’ atau ‘rik’ juga bermakna ‘luka yang sudah sembuh (parut)’.

Dari Al-Quran (18:31);
مُتَّكِئِينَ فِيهَا عَلَى اْلأَرَائِكِ

Maksudnya: “mereka duduk (beristirehat) didalamnya di atas dipan-dipan (kerusi panjang) yang berhias.

Nota: dipan = sofa (bahasa lama pelamin iaitu tempat duduk yang berkusyen)


أرم

‘al-aram’ bermakna ‘bekas-bekas tapak kaki’, atau ‘menandakan sesuatu supaya dapat mengecamnya’. ‘Batu’ juga disebut ‘urram’. Al-Quran menceritakan tentang kaum Aad dimana Erum adalah nama daerah tempat tinggal mereka. Raghib mengatakan ‘erum zaatil imad’ bermakna ‘tiang-tiang tinggi yang berukir’. Sesetengah penyelidik merumuskan bahawa Erum adalah ketua atau pemimpin mereka iaitu anak kepada Saam. Ini bermakna bahawa Erum dan kaum Aad adalah nama bangsa yang sama. Penyusun buku ‘Muheet’ mengatakan bahawa hal ini dimaksudkan kepada pokok atau akar ‘al-arooma’ atau ‘keturunan manusia’. Ibnu Faris pula memberikan makna hal-hal yang bererti ‘melonggokkan benda-benda atas satu sama lain’. Ini mempunyai konotasi mengenai ‘susunan’ dan ‘ketinggian’.

Dari Al-Quran (89:7);
إِرَمَ ذَاتِ الْعِمَادِ

Maksudnya: “Iaitu penduduk Iram yang mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi tiangnya


أزر

‘al-azr’ bererti ‘sokongan; kekuatan’. Al-Quran (20:31) mengatakan: “asydud bihi azri” bermakna ‘perkuatkan belakangku dengannya’ yang bermaksud ‘beri aku kekuatan dengan sokongannya’.
‘al-mua-azara’ bererti ‘untuk menghadapi’; ‘untuk membantu satu sama lain’; ‘ladang-ladang tanaman bercampur satu sama lain dan dengan demikian tanaman besar menyokong yang kecil’.
‘azar' bererti ‘untuk menguatkan akar atau asas’; Al-Quran (48:29) mengatakan: “fa azarahu fastaghlazha” yang bermaksud “(seperti tanaman yang pertama kali mengeluarkan tunasnya) lalu memperkuatkan akarnya dan begitulah sehingga ia terus subur”. Ayat ini memperkatakan tentang Islam seperti pokok yang perlukan akar (asas) yang kuat untuk terus hidup subur.

‘Azar’ adalah nama bapa Nabi Ibrahim. AlQuran (6:74) mengatakan: “li-abihi azara”; kerana tidak ada makna lain yang boleh diberikan, ‘Azar’ itu memang nama bapanya dan bukan nama berhala dibawah jagaan bapanya seperti mengikut sesetengah pendapat.

Dari Al-Quran (6:74);
وَإِذْ قَالَ إِبْرَاهِيمُ لِأَبِيهِ ءَازَرَ أَتَتَّخِذُ أَصْنَامًا ءَالِهَةً إِنِّي أَرَاكَ وَقَوْمَكَ فِي ضَلالٍ مُبِينٍ

Maksudnya: dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berkata kepada bapanya Aazar: "Patutkah ayah menjadikan berhala-berhala sebagai tuhan-tuhan? Sesungguhnya aku melihatmu dan kaummu dalam kesesatan yang nyata".

Dari Al-Quran (20:31);
اشْدُدْ بِهِ أَزْرِى

Maksudnya: "Perkuatkanlah dengan (sokongan)nya, kekuatan (pendirian)ku

أَزْرِى bermakna ‘belakang ku’ yang memberi erti ‘kekuatan/pendirian ku’.

Dari Al-Quran (48:29);

كَزَرْعٍ أَخْرَجَ شَطْأَهُ فَئَازَرَهُ فَاسْتَغْلَظَ

Maksudnya: “seperti tanaman yang mengeluarkan tunasnya, lalu memperkuatkan (akar)nya, sehingga ia menjadi gemuk (subur)

أَزَرَ = “telah menguatkan

أزز

'Al-azeer' bermaksud “ketajaman atau panas; guruh”; 'Aza'alla zabooroha' bererti “ia menyalakan api dan menjaganya supaya terus hidup”; 'azzatil qa'dr' bererti “periuk telah menggelegak”: 'azzatis sahibato' bererti “awan bergemuruh dengan kuatnya”; 'al-uz' bererti “urat darah bergerak-gerak" ataupun “membangkitkan kemarahan”;

Dari Al-Quran Surah Maryam (19:83);
أَنَّا أَرْسَلْنَا الشَّيَاطِينَ عَلَى الْكَافِرِينَ تَؤُزُّهُمْ أَزًّا

Maksudnya: “Kami telah menghantarkan syaitan-syaitan kepada orang-orang kafir, untuk menghasut mereka dengan membangkitkan kemarahan mereka?”

Ibnu Faris berkata perkataan itu pada asasnya bermaksud menggerakkan, gerakan, atau untuk mengusir seseorang atau memindah sesuatu dari tempatnya. Ringkasnya, ia bermaksud untuk 'menghasut sedemikian rupa sehingga dia (mereka) yang yang dihasut tidak terasa apa yang sedang dilakukan kepada mereka'.


أزف

'Azifar ruhal' bererti ‘masa untuk berangkat sudah dekat’. "Azifar rajul" ialah ‘orang yang tergesa-gesa (bergegas)’. 'Attazuf' ialah ‘mengambil langkah-langkah pendek’ dan 'al-azif' bererti bahawa ‘apa yang akan berlaku dalam masa terdekat’.

Dari Al-Quran (53:57);
أَزِفَتِ اْلآزِفَةُ

Maksudnya: “Telah hampir (datangnya) waktu yang dekat itu (hari Kiamat)

Dari Al-Quran (40:18);
وَأَنْذِرْهُمْ يَوْمَ اْلآزِفَةِ

Maksudnya: “dan berilah mereka peringatan (tentang) hari yang dekat (Kiamat)…

Nawab Siddiq Hasan Khan menulis bahawa perkataan yang ada huruf Zai datang selepas Hamza, mempunyai konotasi ‘keras (kasar)’ dan ‘sempit’. Ibnu Faris berkata makna asas dari perkataan tersebut ialah ‘dekat’.


إِسْتَبْرَقٍ

Dari Al-Quran (18:31);
وَيَلْبَسُونَ ثِيَابًا خُضْرًا مِّنْ سُنْدُسٍ وَإِسْتَبْرَقٍ

Maksudnya: "memakai pakaian hijau dari sutera halus dan sutera tebal yang bersulam

Penulis Tajul Uroos berkata tukang-tukang emas telah mengubah perkataan asas kepada ‘barq’ yang bermaksud ‘kilat’ dan dengan itu membawa konotasi ‘bersinar’ seperti kilat.


Ishaq a.s. ( إِسْحَاق )


Dua putra Nabi Ibrahim a.s. telah disebut dalam Al-Quran; yang lebih tua Nabi Ismail ialah anak daripada isterinya Hajar dan yang kedua ialah Ishaq iaitu anak daripada isterinya Sarah. Nabi Ismail menetap di Lembah Hijaz manakala Nabi Ishaq menjadi pemimpin kepada orang-orang Palestin.

Dari Al-Quran (2:136);

أُنْزِلَ إِلَى إِبْرَاهِيمَ وَإِسْمَاعِيلَ وَإِسْحَاقَ

Maksudnya: “yang diturunkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dan Nabi Ishak

Para Nabi adalah dari kalangan keturunan mereka manakala nabi terakhir iaitu Nabi Muhammad s.a.w. adalah dari keturunan Nabi Ismail.


أسر

'Al-Isar' ialah ‘tali untuk mengikat sesuatu’; 'al-asar' bererti untuk mengikat sesuatu dengan tali dan sebagainya; selain itu, juga bererti terikat, bentuk dan penciptaan; seorang tahanan boleh dikatakan ‘tawanan yang diikat (terikat)’; Ibnu Faris berkata makna asasnya adalah untuk ‘menahan’, atau untuk ‘memenjarakan (seseorang)’. Kata jamak (banyak) adalah ‘usara’ atau ‘asra’. Konotasinya boleh juga menunjukkan keadaan ‘kuat dan stabil’. Quran telah menggunakan ‘usara’ untuk ‘orang tahanan (tawanan)’.

Dari Al-Quran (2:85);
وَإِنْ يَأْتُوكُمْ أُسَارَى

Maksudnya: “padahal kalau mereka datang kepada kamu sebagai orang tawanan

Melalui ilmu pengetahuan sains moden, ini memberi pertunjuk kepada satu fakta sangat penting. Kita tidak boleh merasa sesuatu jika ianya tidak mempunyai bentuk. Ilmu sains mengatakan kepada kita bahawa jirim (matter) pada hakikatnya bukan sesuatu yang keras (pepejal); ini adalah konglomerasi atom-atom yang melekat pada satu sama lain atau terikat bersama mengikut sesuatu hukum semulajadi (hukum Tuhan) dan jika ikatan ini tidak ada, maka tidak adalah yang akan mempunyai rupa atau bentuk. Jadi ‘asr’ inilah yang saling mengikat bersama dan memberikan bentuk pada benda-benda.

Dari Al-Quran (76:28);
نَحْنُ خَلَقْنَاهُمْ وَشَدَدْنَا أَسْرَهُمْ

Maksudnya: “Kamilah yang telah menciptakan mereka serta menguatkan (teguhkan) tubuh mereka

Nawab Siddiq Hasan Khan menulis bahawa dalam kata-kata di mana Siin muncul bersama dengan Hamza, maka konotasinya akan memberi maksud ‘kekuatan’ dan ‘bersangatan’ (intensity).


Israail a.s. ( إِسْرَائِيلُ )

Ini adalah gelaran untuk Nabi Yaakub (a.s.). Untuk maklumat terperinci, lihat tajuk “Yaakub”; untuk Bani Israel sila lihat tajuk “Bani Israel”.

Dari Al-Quran (3:93);
إِلاَّ مَا حَرَّمَ إِسْرَائِيلُ عَلَى نَفْسِهِ

Maksudnya: “kecuali makanan yang diharamkan oleh Israail (Nabi Yaakub) kepada dirinya sendiri sebelum diturunkan Kitab Taurat”.


أسس

'Al-us' atau 'al-asas': iaitu ‘asas sebuah bangunan’; jamak ialah 'asas'. 'Al-asees' bererti‘teras’ dari apa-apa; 'Al-ta'sees' ialah ‘meletakkan batu asas untuk bangunan’; Nawab Siddiq
Hasan Khan menulis bahawa kata-kata yang muncul bersama Siin dan Hamza memberikan konotasi ‘kekuatan’ atau ‘bersangatan’. Ibnu Faris berkata makna asasnya adalah untuk sesuatu yang tetap ditempatnya, atau yang akan didirikan (dibina).

Dari Al-Quran (9:108) ;
لَمَسْجِدٌ أُسِّسَ عَلَى التَّقْوَى مِنْ أَوَّلِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Masjid yang telah didirikan di atas dasar taqwa dari mula (wujudnya)

'al-oos’ juga bererti 'hati manusia'; juga debu yang ditinggalkan oleh kafilah yang sedang berangkat (berlepas). Ini sebenarnya melambangkan pengaruh atau tanda sesuatu. ‘Khuz as -saat tariq' dikatakan kepada seseorang ketika ia diarahkan untuk sampai ketempat yang dituju dengan bantuan arahan yang tepat atau tanda-tanda diperjalanan.


أسف

'Al-asf' bererti ‘bercakap dengan rasa sedih yang bersangatan atas kehilangan sesuatu’. Nawab Siddiq Hasan Khan menulis apabila Siin dan Hamza ada bersama dalam satu perkataan, ia membayangkan rasa ‘kekuatan’ dan ‘bersangatan’.

Dari Al-Quran (7:150) ;
وَلَمَّا رَجَعَ مُوسَى إِلَى قَوْمِهِ غَضْبَانَ أَسِفًا

Mahsudnya: “dan apabila Nabi Musa kembali kepada kaumnya dengan perasaan sangat marah dan sedih

Menurut Raghib kalimat itu bermaksud “darah seseorang itu menggelegak kerana dendam emosi”. Jika seseorang berperasaan begitu terhadap seseorang yang rendah kedudukannya, hal itu disebut 'ghadab'.

Dan jika perasaannya untuk orang yang lebih baik, hal itu disebut 'huzn'.

Dari Al-Quran (43:55) ;
فَلَمَّا ءَاسَفُونَا انْتَقَمْنَا مِنْهُمْ

Maksudnya: “setelah mereka membuat Kami murka (sangat marah), Kami hukum mereka”

Dari Al-Quran (12:84) ;
وَقَالَ يَا أَسَفَى عَلَى يُوسُفَ


Maksudnya: dan berkata Nabi Yusuf: “Aduhai (tersangat) sedihnya aku kerana Yusuf”

Dalam keadaan biasa kata-kata ini bererti ‘celaka’ dan ‘duka’. 'Ard aseefa' ialah ‘tanah yang tandus’. Ibnu Faris berkata perkataan itu bererti ‘kematian’ iaitu (semakin menjauh) dan kesedihan dan kerinduan. 'Al-jamal ala saif' bermaksud ‘unta yang tidak mahu gemuk’. Perkataan 'aseef' juga dikaitkan dengan ‘hamba’, kerana hamba selalu sedih tentang kehilangan kebebasannya. Selain itu, perkataan tersebut juga digunakan untuk orang yang mudah sedih.


Ismail a.s. ( إِسْمَاعِيلُ )

Al-Quran menyebut tentang dua putra Nabi Ibrahim (a.s.). Nabi Ismail adalah anak sulungnya daripada isteri pertamanya iaitu Hajar. Nabi Ismail adalah orang yang dimaksudkan oleh Nabi Ibrahim sebagai pengorbanan beliau demi untuk merealisasikan impiannya untuk menyahut perintah Allah.

Dari Al-Quran (37:102) ;
قَالَ يَا بُنَيَّ إِنِّي أَرَى فِي الْمَنَامِ أَنِّي أَذْبَحُكَ فَانْظُرْ مَاذَا تَرَى
Maksudnya: Nabi Ibrahim berkata: "Wahai anakku! Sesungguhnya aku melihat dalam tidurku (bermimpi) bahawa aku akan menyembelih engkau; maka fikirkanlah apa pendapat engkau?"

Tetapi Allah telah menetapkan seumur hidupnya penuh dengan pengorbanan dan menggantikan ‘penyembelihan’ anaknya itu dengan sembelihan Korban.

Dari Al-Quran (37:107) ;
وَفَدَيْنَاهُ بِذِبْحٍ عَظِيمٍ

Maksudnya: “Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar

Pengorbanan pertama ialah cabaran membangunkan semula Kaabah dan seterusnya menguruskan penjagaan dan keselamatan Rumah Allah itu. Kerana itu ayah dan anak (Nabi Ibrahim dan Ismail) bersama-sama membina semula Kaabah.

Dari Al-Quran (2:127) ;
وَإِذْ يَرْفَعُ إِبْرَاهِيمُ الْقَوَاعِدَ مِنَ الْبَيْتِ وَإِسْمَاعِيلُ

Maksudnya: “dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim meninggikan (membina semula) asas-asas Baitullah (Kaabah) itu bersama Nabi Ismail

Nabi Ismail menetap di Makkah untuk menjaga keselamatan Kaabah dan dikurniakan Allah dengan kenabian.

Dari Al-Quran (19:54) ;
إِسْمَاعِيلَ إِنَّهُ كَانَ صَادِقَ الْوَعْدِ وَكَانَ رَسُولاً نَبِيًّا ...

Maksudnya: “… perihal Nabi Ismail; sesungguhnya ia adalah benar menepati janji dan adalah ia seorang Rasul dan seorang Nabi.

Nabi Allah terakhir iaitu Muhammad s.a.w. adalah dari keturunan Nabi Ismail.


أسن


“Asanal ma-u yasuun” adalah apabila rasa, warna atau bau berubah (rosak). “Alasin” ialah ‘air yang telah keras (pekat) setelah lama bertakung (tidak mengalir)’. Al-Quran mengatakan tentang terusan-terusan (sungai-sungai) di Syurga yang tidak berubah(rosak atau tercemar):

Dari Al-Quran (47:15);
فِيهَا أَنْهَارٌ مِنْ مَاءٍ غَيْرِ ءَاسِنٍ

Maksudnya: “ada didalamnya (Syurga) sungai-sungai dari air yang tidak berubah (rasa, warna dan baunya)

Nota: Al-Quran Ayat 47:15 adalah merupakan gambaran kehidupan manusia di Syurga yang penuh dengan berbagai nikmat yang disediakan oleh Allah bagi orang-orang yang beriman. Bagaimana pun gambaran-gambaran tersebut hanyalah sebagai kiasan (ibarat) sahaja kerana kebahagiaan dan kepuasan hidup di Syurga tidak ada bandingannya dengan kehidupan di dunia. Bahkan tidak mungkin bagi kita didunia ini untuk memahami keadaan di Syurga itu.


أسى


“Rajul aasin” ialah ‘seorang lelaki yang sedang bersedih’. “Amra'atun aasiya” ialah “seorang wanita yang sedang berduka”.

Dari Al-Quran (5:26);
فَلاَ تَأْسَ عَلَى الْقَوْمِ الْفَاسِقِينَ

Maksudnya: 26. “maka janganlah engkau bersedih terhadap (kehancuran) kaum yang fasik itu".

“As-sahu museebatin raasiya” : bersimpati bersamanya dalam kesedihan; 'Fa-ta'assa' : dan ini memberi ketenangan. Oleh itu (mengikut kata Raghib) 'asa' bererti kesedihan dan 'tasiya' bererti untuk menghapuskan kesedihan. Dengan demikian, 'al-aswu' juga bererti ubat yang menyembuhkan. 'Al-Asiya' bererti ubat-ubatan. Ini adalah jamak kepada 'al-asu'. "Al-asiyo” bermaksud yang dirawat. Ibnu Faris berkata bahawa 'asu' pada asasnya bererti untuk mengubati (penyakit) dan juga bererti sedih dan duka.

Mereka yang lemah dan tidak stabil semasa perang Ahzaab telah diberitahu Ayat berikut:

Dari Al-Quran (33:21);
لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ

Maksudnya: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik.”

yakni anda semua seharusnya melakukan apa yang Rasul Allah (Nabi) telah lakukan. Dengan kata lain, mencontohi cara beliau menghadapi semua masalah sesuai dengan hukum-hukum Allah dan dengan perpaduan dan azam yang kuat, maka anda harus melakukan hal yang sama. Teladannya adalah contoh terbaik untuk anda. Demikian pula, telah disebutkan tentang Nabi Ibrahim bahawa dia mengatakan kepada penentang perintah Tuhan di depan umum bahawa “tidak ada hubungan apa-apa antara aku dan kamu semua”. Dalam konteks ini dikatakan:

Dari Al-Quran (60:6);
لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِيهِمْ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ

Maksudnya: “Demi sesungguhnya! adalah bagi kamu pada bawaan mereka (Nabi Ibrahim dan pengikut-pengikutnya) contoh ikutan yang baik.”

Ini akan memulihkan kesedihan anda; kerana itu, di banyak tempat dalam Al-Quran, telah diberitahu kepada orang-orang yang beriman supaya tidak mempunyai hubungan apapun dengan para penentang perintah Allah. Jangan jadikan mereka orang-orang kepercayaan anda.

Dari Al-Quran (3:118);
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُواْ لاَ تَتَّخِذُواْ بِطَانَةً مِنْ دُونِكُمْ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan dari golongan kamu menjadi sahabat karib (orang-orang kepercayaan) kamu.

'Almu-asa' bermaksud untuk mempertimbangkan orang lain mengambil tempat anda (dan berusaha untuk mendapatkan sebanyak mungkin manfaat baginya seperti yang anda akan lakukan untuk diri sendiri dan berusaha untuk menghilangkan sebanyak mungkin kesan-kesan negatif daripadanya sebagaimana daripada diri kamu sendiri). Dan itu adalah merupakan ‘pengorbanan’ apabila anda melebihkan dia daripada diri sendiri. Al-Quran mengajarkan kita erti pengorbanan yang wajar:

Dari Al-Quran (59:9);
وَيُؤْثِرُونَ عَلَى أَنْفُسِهِمْ وَلَوْ كَانَ بِهِمْ خَصَاصَةٌ

Maksudnya: “dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri walaupun mereka dalam kesusahan

No comments: