Sunday, November 22, 2009

Lughaatul Quran

BAHASA AL-QURAN
(Terjemahan daripada buku bertajuk LUGHAATUL QURAN)

Al-Quran adalah Kitab Allah yang terakhir dan satu-satunya panduan cara hidup yang lengkap bagi manusia. Hal ini didasarkan pada kebenaran abadi, yang tidak terjejas oleh perubahan zaman dan yang begitu universal hingga dapat memberikan garis panduan kepada pemikiran manusia dalam setiap aspek kehidupan dan relevan sepanjang zaman. Jelas bahawa Kitab yang agung seperti Al-Quran ini harus ditulis dengan bahasa yang komprehensif, universal, menjangkau jauh, tinggi dan dengan maksud yang mendalam, dan semestinya perlu jelas dan tepat. Seorang pemikir barat, yang kecewa dengan Kristian dalam mencari agama yang boleh memuaskan akal atau daya fikir manusia, telah mengatakan bahawa agama yang sedang dicarinya mestilah dalam bahasa yang sangat sederhana sehingga orang awam boleh mendapat manfaat daripadanya dan pada masa yang sama seharusnya begitu mendalam dan bermakna sehingga mampu pula memuaskan intelek cendikiawan-cendikiawan yang berkaliber.

Bahasa Al-Quran terbukti dapat memenuhi kriteria-kriteria tersebut. Apabila Allah memilih bangsa Arab untuk diberikan tanggung-jawab untuk mempraktikkan perlaksanaan program yang terkandung dalam Kitab Agung itu, yang tentunya dianggap satu revolusi kepada pemikiran masyarakat Arab ketika itu, lalu dalam tempoh beberapa abad sebelum Al-Quran diwahyukan, Bangsa Arab telah diberikan tanggung jawab membawa bahasa mereka secara berperingkat ke tahap dimana ia layak untuk dijadikan bahasa pengantar kepada Al-Quran.

Ketika keluarga Nabi Ibrahim a.s. dibahagi dua menjadi dua cabang, satu cabang (Bani Israel) telah dikurniakan dengan kenabian dan kuasa pemerintahan, manakala satu cabang lagi (Bani Ismail) telah menetap di lembah Wadi al-Bakka (Makkah) dimana (selepas Nabi Ismail a.s.) tidak ada lagi Nabi dikalangan mereka dan mereka juga tidak mendapat kuasa pemerintahan (Kerajaan). Namun secara berperingkat kumpulan ini berubah menjadi bangsa yang dibesarkan di pangkuan alam semula jadi hingga diizinkan kelahiran Nabi Allah yang terakhir dikalangan mereka bernama Muhammad (s.a.w.).

Dalam masa yang sama bahasa Arab telah berkembang sehingga keunggulan yang dicapainya mewajarkan mereka dipanggil Arab (atau mereka yang menggunakan bahasa yang penuh perasaan dan expresif) dan yang lain-lain dipanggil Ajam (atau bisu). Perkataan Arab atau Arbi bererti jelas, berbeza. Penulisan ini tidak bercadang untuk membincangkan perdebatan mengenai penyelidikan tentang asal-usul bahasa Arab dan tahap evolusinya. Penulisan ini bertujuan hanya untuk menyatakan bahawa sementara Bani Israel sedang sibuk selama berkurun-kurun dalam membangunkan istana-istana yang unggul dan mengkagumkan, dan menjadi pewaris kepada kemegahan era Daud dan Sulaiman a.s. (Nabi-Nabi Allah), saudara mereka, Bani Ismail, selama tempoh masa yang sama, secara sedar atau tidak sedar, adalah para arkitek kepada satu bahasa yang tidak setara dengan mana-mana bahasa lain diseluruh dunia.

Para ahli bahasa juga percaya bahawa untuk mengetahui tentang tahap mental sesuatu bangsa pada tempoh masa tertentu dalam sejarah, bahasanya harus dikaji untuk melihat seberapa banyak perbendaharaan katanya mengandungi kata-kata yang mencerminkan konsep. Dalam hubungan ini kajian menunjukkan bahawa Bahasa Indo-Eropah mengandungi maksimum 121 konsep akar. Dan selama era dimana Sanskrit adalah bahasa yang hidup dan matahari dan api disembah, hanya ada 37 perkataan untuk menggambarkan Matahari dan hanya 35 perkataan untuk menggambarkan Api. Sebaliknya, orang-orang Arab memiliki 80 perkataan untuk Madu Lebah, 200 perkataan untuk Ular, 500 perkataan untuk Singa, 1000 perkataan untuk Pedang dan 5744 perkataan untuk Unta. Ini memberikan ide tentang keluasan konsep Arab dan bahasa mereka yang lengkap.

Inilah bahasa yang dipilih untuk Al-Quran yang telah diwahyukan kepada Muhammad Rasulullah (saw) pada abad ke-600. Firman Allah SWT:

وَإِنَّهُ لَتَنْزِيلُ رَبِّ الْعَالَمِينَ ، نَزَلَ بِهِ الرُّوحُ الأمِينُ ، عَلَى قَلْبِكَ لِتَكُونَ مِنَ الْمُنْذِرِينَ ، بِلِسَانٍ عَرَبِيٍّ مُبِينٍ

Maksudnya: “Demi sesungguhnya (Al-Quran) telah diturunkan oleh (Allah) Tuhan Pemelihara sekalian alam. Ia dibawa turun oleh malaikat Jibril yang amanah, ke dalam hatimu supaya engkau (wahai Muhammad) menjadi salah seorang diantara (Rasul-Rasul) yang memberi ajaran dan peringatan (kepada umat manusia). (Ia diturunkan) dengan bahasa Arab yang jelas.” (Al-Quran 26:192-195)

Ini adalah mengenai bahasa yang dipilih untuk Al-Quran. Mengenai Al-Quran itu sendiri, Allah berfirman:

إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ قُرْءَانًا عَرَبِيًّا لَّعَلَّكُمْ تَعْقِلُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan Kitab berupa Al-Quran yang dibaca dengan bahasa Arab, supaya kamu memahaminya.” (Al-Quran 12:2)

Manakala di Ayat yang lain Allah berfirman:

إِنَّا جَعَلْنَاهُ قُرْءَانًا عَرَبِيًّا لَّعَلَّكُمْ تَعْقِلُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah menjadikan Kitab itu sebagai Al-Quran yang diturunkan dengan bahasa Arab, supaya kamu memahaminya.” (Al-Quran 43:3)

Al-Quran telah menyatakan kebenaran ini di beberapa tempat, seperti:

وَكَذَلِكَ أَنْزَلْنَاهُ حُكْمًا عَرَبِيًّا

Maksudnya: “Dan demikianlah Kami menurunkan Al-Quran sebagai hukum, dalam bahasa Arab.” (Al-Quran 13:37)

وَكَذَلِكَ أَنْزَلْنَاهُ قُرْءَانًا عَرَبِيًّا

Maksudnya: “Dan demikianlah Kami telah menurunkan Al-Quran sebagai bacaan dalam bahasa Arab” (Al-Quran 20:113)

قُرْءَانًا عَرَبِيًّا غَيْرَ ذِي عِوَجٍ


Maksudnya: “Iaitu Al-Quran yang berbahasa Arab, yang tidak mengandungi sebarang keterangan yang terpesong;
(Al-Quran 39:28)

وَلَمْ يَجْعَلْ لَّهُ عِوَجَا

Bermaksud: “dan tidak menjadikan padanya sesuatu yang bengkok (terpesong)” (Al-Quran 18:1)

كِتَابٌ فُصِّلَتْ ءَايَاتُهُ

Maksudnya: “sebuah Kitab yang dijelaskan ayat-ayatNya satu persatu;” (Al-Quran 41:3)

Dengan demikian, Al-Quran ini telah menjadi jelas dan berbeza (distinct) untuk orang-orang yang menggunakan pengetahuan dan pemerhatian.

Kebenaran yang terkandung didalam Al-Quran adalah sangat mulia dan maksudnya sangat mendalam, tapi dalam masa yang sama menekankan bahawa kenyataan-kenyataannya sangat sederhana. Allah SWT berfirman:

فَإِنَّمَا يَسَّرْنَاهُ بِلِسَانِكَ لَعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُونَ

Maksudnya: “Maka sesungguhnya Kami telah memudahkan Al-Quran dengan bahasamu (wahai Muhammad), supaya mereka (yang memahaminya) beringat dan insaf.” (Al-Quran 44:58)

وَلَقَدْ يَسَّرْنَا الْقُرْءَانَ لِلذِّكْرِ فَهَلْ مِنْ مُّدَّكِرٍ


Maksudnya: “Demi sesungguhnya! Kami telah memudahkan Al-Quran untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)?” (Al-Quran 54:17)

Dari keterangan tersebut diatas, jelas bahawa Al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab dan sangat mudah, jelas dan berbeza. Oleh itu manusia (umumnya) akan memberi kesimpulan bahawa siapa pun yang mengetahui bahasa itu akan mudah memahami kebenaran Al-Quran. Dengan kata lain, mengetahui bahasa Arab akan cukup untuk memahami kebenaran Al-Quran - ini adalah anggapan yang salah! Tidak ada keraguan bahawa orang harus tahu bahasa Arab untuk memahami Al-Quran; dan tidak ada buku di dunia boleh difahami kecuali seseorang itu tahu bahasa buku berkenaan. Tetapi jika hanya mengetahui bahasa Arab sudah cukup untuk memahami Al-Quran, maka orang-orang Arab (yang bahasa ibundanya Arab) akan menjadi pakar untuk mengenalpasti kebenaran Al-Quran. Tapi pada hakikatnya sejauh mana orang-orang Arab memahami sepenuhnya ajaran-ajaran Al-Quran ini adalah dipersoalkan. Orang-orang Arab tidak hanya dimaksudkan orang-orang Arab yang awam tetapi juga termasuk mereka yang terpelajar (Ulama). Bilamana situasinya sedemikian dengan orang-orang Arab sendiri, maka tidak sukar untuk membayangkan situasinya dengan orang-orang bukan Arab. Hal ini membawa kita kepada persoalan: Di satu pihak Quran mendakwa bahawa ia adalah sebuah buku yang ditulis dalam bahasa Arab yang mudah, tetapi di sudut lain situasinya tidaklah sedemikian rupa, bahkan di antara orang-orang Arab (yang bahasa ibundanya Arab) sangat sedikit yang benar-benar memahami Al-Quran? Soalan ini sangat mustahak dan penting. Dan ini sangat penting untuk difahami sepenuhnya.

Kedudukan bahasa Arab (Arab Klasik) sebagai bahasa yang serba lengkap telah disebut sebelum ini dan telah juga perkatakan bahawa sebelum Al-Quran diwahyukan, bahasa Arab telah banyak digilap (diperkayakan) tetapi anda mungkin akan terkejut bila diberitahu bahawa Al-Quran adalah buku yang pertama berbentuk prosa (ayat) dalam bahasa Arab. Sebelum itu penulisan-penulisan Arab adalah dalam bentuk puisi (sya’ir). Orang-orang Arab mempunyai tradisi berpuisi (sya’ir), oleh kerana itu seluruh khazanah bahasa mereka adalah dalam bentuk puisi dan telah disampaikan secara lisan dari satu generasi ke-generasi berikutnya. Apa yang disebut sastera Arab disusun sebagian besar semasa zaman pemerintahan Abbasiyyah.

Semasa zaman Abbasiyyah itulah buku-buku tentang hadith, perjalanan dan sejarah telah dikompilasi dan diterbitkan. Kitab-kitab tafseer (penjelasan) daripada Qur'an juga ditulis. Buku-buku mengenai sastera Arab turut dikompilasi. Peraturan tatabahasa Arab dirangka. Apa yang amat mengejutkan ialah bahawa mereka yang menyusun buku-buku ini semua (kecuali bilangan yang sangat sedikit) bukan dari bangsa Arab. Mereka adalah dari bangsa Ajami (bukan Arab) yang berasal dari daerah Parsi. Buku buku tulisan mereka merupakan buku-buku berbahasa Arab yang paling awal. Para pelajar sejarah tahu bahawa selama pemerintahan Abbasiyyah, konsep Ajami atau Parsi telah tersebar luas. Kerajaan Abbasiyyah telah mendapatkan kuasa dengan bantuan mereka dan pengaruh politik hasil penulisan mereka. Dan telah menjadi satu kenyataan bahawa sesuatu kumpulan yang mempengaruhi politik juga mempengaruhi setiap sektor kehidupan. Akibatnya, apa pun yang mereka tulis adalah dalam bentuk Arab tetapi dalam berkonsepkan Parsi. Kerana itu bahasa Arab, dalam era pertama ianya sedang ditulis dan dikompilasi, telah dipengaruhi oleh konsep bukan Arab. Bagaimana perubahan ini berlaku boleh ditemui pada akhir buku terkenal Fajaral Islam yang ditulis oleh mendiang Ulama Ahmad Misri secara terperinci. Beliau telah menulis:

Anda akan bersetuju dengan saya bahawa sastera Parsi pasti telah merubah sastera Arab.


NOTA SEJARAH

Bani Abbasiyyah ialah kerajaan Islam ketiga, selepas pemerintahan Khulafa al-Rasyidin dan selepas Kerajaan Bani Ummaiyyah yang berpusat di Damsyik dikalahkan pada tahun 750. Pemerintahan kerajaan ini yang berpusat di Baghdad, banyak menghasilkan karya-karya dan menunjukkan betapa hebatnya tamadun Islam ketika itu. Kerajaan ini tamat selepas diserang oleh tentera Mongol pada tahun 1258.

Adalah dikatakan bahawa keturunan khalifah Abbasiyyah datang dari Saidina Abbas bin Abdul Muttalib (566-652) yang merupakan salah seorang daripada bapa saudara Nabi Muhammad s.a.w., oleh itu mereka merasakan diri mereka layak untuk menjadi khalifah memandangkan salasilah keturunan mereka itu. Bani Ummaiyyah pula ialah daripada salah satu golongan dalam kaum Quraisy yang berlainan daripada keturunan nabi.


Jelas ketika Bahasa Arab sangat dipengaruhi oleh pengaruh luar (pengaruh Parsi) dan ada perubahan dalam pengertian sebenar perkataan-perkataan, maka kata-kata yang digunakan dalam Al-Quran juga mengalami perubahan makna. Kerana kitab-kitab tafseer juga disusun pada masa itu, ia juga dipengaruhi oleh konsep Parsi. Dengan demikian, terjadilah perubahan makna berbagai Ayat Al-Quran jauh daripada pengertian sebenar yang diperolehi daripada Al-Quran semasa ia diwahyukan dan disampaikan oleh Nabi Muhammad s.a.w.

Ada alasan lain yang menyebabkan perbezaan makna yang telah berlaku. Ketika kitab-kitab Tafseer mula ditulis (pada abad ke 3 dan 4 Masihi), ia ditulis sehingga hampir selepas setiap ayat penting akan dinyatakan asbabun nuzul ataupun keadaan yang menyebabkan turunnya ayat berkenaan. Dengan demikian, maksud daripada ayat-ayat ditentukan bukan mengikut makna sebenar kata-kata tetapi mengikut peristiwa-peristiwa yang dianggap sebagai penyebab turunnya wahyu. Jadi makna atau pengertian kata-kata didalam ayat itu telah ditentukan sewajarnya. Kitab-kitab Tafseer yang ditulis kemudian mengikuti cara penulisan para pentafsir terdahulu dan dengan cara ini ayat-ayat tersebut sentiasa diberikan makna yang telah ditetapkan. Oleh kerana itu, dan juga kerana asbabun nuzul daripada ayat-ayat selalunya dikaitkan dengan para Sahabat Rasulullah, pengertian atau makna ayat adalah dianggap sebagai tafsiran para Sahabat itu sendiri. Jadi makna atau maksudnya juga dikira telah diperakukan. Sedangkan situasi faktual yang berlaku adalah bahawa sebahagian besar tafseer-tafseer sudah terlalu lama dan ketinggalan zaman sehingga beberapa sarjana telah benar-benar menolak untuk menerimanya. Sebagai contoh, Imam Ahmed Hanbal tercatat sebagai berkata: "Ada tiga buku yang tidak mempunyai realiti - Mughazi, Mulahim dan Tafaseer".

Bagaimana pun sebahagian besar tafseer-tafseer masih didasarkan kepada tradisi ini. Dan adalah jelas bahawa ketika ayat-ayat Al-Quran ditafsirkan mengikut tradisi lama dan apabila ayat-ayat berkenaan diterjemahkan mengikut tafseer-tafseer itu, maka ertinya mereka tidak terikat untuk mendedahkan makna yang sah daripada Al Quran. Ini akan lebih difahami melalui contoh berikut:

الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ

Maksudnya: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan …
(Al-Quran 4:34)

Terjemahan kepada empat perkataan pertama, seperti yang diterjemahkan oleh Maulana Shah Rafiuddin, ialah: “Lelaki adalah Tuan terhadap perempuan…

Disini ‘qawwamoon’ dianggap bermakna Lord atau Tuan padahal menurut kamus bererti 'orang yang menyediakan roti dan mentega (makanan)'. Ini bererti bahawa mengikut tugas yang dipertanggung-jawabkan, tugas lelaki (suami) ialah menyediakan makanan. Sekarang perlu dicatatkan bahawa perkataan ‘qawwamoon’ telah diterjemahkan sebagai ‘Tuan’ atau ‘Hakim’ iaitu ‘Pemerintah’ atau bagaimana? Atau adakah terjemahan yang memberi maksud “lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal terhadap wanita (pelindung)” adalah terjemahan maksud yang sebenar?

Inilah sebabnya mengapa semua orang yang fasih berbahasa Arab, bahkan dikalangan orang Arab sendiri pun, tidak semestinya mereka dapat memahami pengertian sebenarnya kata-kata (kalimah) seperti yang tersusun dalam ayat-ayat Al-Quran. Hal ini akan membawa kita kepada persoalan yang lebih penting iaitu:

1) Apabila sepanjang zaman kekuasaan Abbasiyah, Bahasa Arab telah dipengerauhi oleh konsep bukan Arab (Parsi), dan

2) apabila semua kesusateraan Arab yang kita miliki adalah yang lahir pada zaman itu – sama ada ianya tafseer atau qamus; samada ianya buku-buku sejarah atau buku-buku sastera dan, oleh kerana tafseer-tafseer itu terlalu lama dan usang, maka pengertian sebenar ayat-ayat Al-Quran telah hilang?

3) lalu bagaimana seseorang itu mampu menemukan kefahaman maksud sebenar keatas ayat-ayat Al-Quran seperti semasa ianya diwahyukan?

Tidak diragukan lagi, jika kes ini di rujukan kepada beberapa bahasa lain (atau beberapa buku lain) maka akan menimbulkan kesulitan yang tidak punya penyelesaian. Tetapi dalam kes Bahasa Arab (dan Al-Quran) ada unsur-unsur tertentu yang menjadikan masalah ini boleh diselesaikan.

Pertama sekali (seperti yang telah dikatakan sebelum ini) semua sastera Arab terpelihara dalam rangkap-rangkap puisi penyair mereka. Penyair memiliki tempat khusus dalam masyarakat Arab. Selain daripada itu, rangkap-rangkap puisi mereka penuh dengan kebaikan puak-puak mereka dan keburukan lawan-lawan mereka. Dengan demikian sya’ir-sya’ir itu telah dihafal bahkan oleh kanak-kanak. Ketika ayat-ayat ditulis, sukar untuk membawanya tepat seperti yang tertulis tetapi tidak begitu dengan sya’ir. Ketika sya’ir-sya’ir ini dihafalkan dan dipindahkan seterusnya, susunan kata-katanya tidak akan berubah. Dengan kata lain, puisi atau syair dipindahkan tepat seperti yang tertulis dan tidak hanya maknanya. Ini adalah alasan mengapa karya penyair-penyair sebelum Islam dipindahkan seperti yang ditulis tanpa sebarang perubahan dalam susunan kata-kata dengan tidak menjejaskan maknanya. Dan juga tidak ada keraguan bahawa beberapa syair daripada penyair dari zaman gelap juga berpunca daripada penyair-penyair ini dan telah dimasukkan ke dalam puisi mereka, tetapi hal ini tidak banyak mempengaruhi ertinya. Bahasa puisi-puisi palsu (tidak asli) harus dipastikan tetap sama dengan puisi-puisi asli yang sebenar, jika ini tidak dilakukan maka pembezaan antara yang asli dan tidak asli akan segera dikesan. Namun, dengan cara ini, puisi daripada penyair-penyair dari zaman sebelum Islam telah terpelihara dalam sastera Arab Klasik. Beberapa perkataan, yang diketahui umum semasa Al-Quran diwahyukan, juga dikekalkan dalam Bahasa Arab. Dan oleh kerana syair-syair yang mengandungi kata-kata itu ada sebagai rujukan, jadi makna (mafhum) sebenar ayat-ayat Al-Quran semasa diwahyukan juga dapat dipastikan (dengan bantuan sya’ir-sya’ir berkenaan). Kata-kata ini sebahagian besar telah digunakan dalam makna yang sama di mana ia digunakan dalam rangkap-rangkap sya’ir yang diketahui umum oleh orang-orang Arab pada masa itu. Oleh sebab itu mereka tidak mengalami kesukaran untuk memahami Al-Quran semasa ia diwahyukan. Kata-kata puisi ini (kecuali buku-buku sastera) juga telah muncul dalam kamus Bahasa Arab yang asli dimana makna kata-kata ini juga telah dibahaskan. Kamus-kamus yang dikompilasi selepas itu juga ada menyertakan kata-kata tersebut seperti yang digunakan dalam kamus-kamus lama. Dengan bantuan kata-kata ini, orang dapat memahami makna yang difahami semasa Al-Quran diwahyukan.

4) Ini adalah faktor luaran yang boleh membantu menentukan makna sebenar sebagaimana pada ketika wahyu diturunkan. Tetapi bahasa Arab Klasik mempunyai satu ciri semulajadi yang tidak boleh dipengaruhi oleh faktor luaran dan dengan perbincangan dan pertimbangan yang berhati-hati seseorang boleh mengukur pengertian sebenarnya.

Setiap perkataan dari bahasa Arab mempunyai 'akar', yang mempunyai makna tertentu. Mengikut peraturan tatabahasa, tidak kira dalam bentuk apa perkataan akar itu ditulis, makna dasarnya akan tercermin dalam setiap bentuk. Dan makna dasar (asas) kepada perkataan akar juga ditentukan jika huruf-huruf (misalnya, huruf Haa dan Baa) muncul bersama dalam satu perkataan, maka akan mempunyai makna tertentu, dan begitu juga jika huruf-huruf (misalnya Sad dan Raa) muncul bersama dalam satu perkataan, maka perkataan itu akan mempunyai makna tertentu. Jika, dengan berlalunya waktu, ada beberapa perubahan kepada perkataan itu kemudian, makna sebenarnya boleh diukur melalui perkataan 'akar' yang tetap tidak akan berubah. Dengan cara ini, orang dapat memahami apa makna sebenar perkataan-perkataan ini semasa wahyu diturunkan.

5) Faktor ketiga dalam hal ini adalah bahawa pada masa wahyu diturunkan, orang-orang Arab hidup dalam keadaan sangat sederhana. Langit yang terbuka di atas, dengan bintang-bintang berkelipan dan dengan cahaya Matahari dan Bulan yang bersinar, gurun padang pasir di depan mata yang berbukit-bukau, tali-tali air yang mengalir yang menjadi pusat kehidupan dengan persekitaran rumput menghijau, dan pohon-pohon kurma, pokok anggur di beberapa tempat, dan pohon delima dengan penghuni-penghuni khemah tinggal berhampiran; didalam khemah sangat kurang dengan kelengkapan hidup, dan yang paling berharga di antaranya ialah senjata mereka, pedang, busur dan anak panah, tombak, perisai, pisau belati; padang ragut didepan ladang dengan binatang peliharaan mereka (unta, kuda, bebiri, kambing) disana sini; inilah keseluruhan dunia mereka yang tercermin dalam perkatan-perkataan (bahasa) mereka dan akar-akarnya. Oleh kerana semua hal ini merupakan kebendaan (materi), kata-kata yang mereka gunakan boleh difahami dengan mudah. Menentukan makna perkataan agak sukar apabila kata-kata filasuf ataupun yang berkaitan dengan dunia meta-fizikal muncul. Tapi apakah keperluan kepada konsep-konsep abstrak bagi penghuni padang pasir? Mereka telah pun mempunyai bahasa yang jelas dan yang standard. Sejarah mengatakan bahawa (tidak terlalu lama selepas itu) semasa tempoh kepimpinan Khalifah Umar, orang-orang Arab semakin tambah bergaul dengan orang-orang bukan Arab, Umar a.s. selalu memberitahu penduduk-penduduk Madinah: "Jika anda ingin memahami Al-Quran, sila habiskan beberapa hari bersama penghuni gurun padang pasir kerana bahasa Al-Quran dalam bentuk asalnya semasa diwahyukan, masih bersama mereka.”


LAMPIRAN

PERBINCANGAN MAKNA KATA-KATA DARI AL-QURAN



..... akan disambung

No comments: