Tuesday, September 9, 2008

ZIKIR HARIAN RASULULLAH S.A.W.

Nabi umat ini sekaligus murabbi (pembimbing) yang handal dan terdepan memiliki komitmen yang sangat besar dalam beribadah. Beliau selalu menghubungkan hatinya dengan Allah Ta'ala. Tidak sedikitpun waktu yang terlewat tanpa dzikrullah, tahmid, syukur, istighfar dan taubat. Padahal telah diampuni dosa-dosa beliau yang lalu mahupun yang akan datang. Namun beliau senantiasa menjadi hamba yang bersyukur, nabi yang mensyukuri kurnia Allah dan rasul yang selalu memuji keagungan-Nya. Beliau mengenal kebesaran Allah , dengan itu beliau senantiasa memuji-Nya, memohon kepada-Nya dan kembali menuju ampunan-Nya. Beliau mengetahui betapa berharga waktu yang diberikan, beliau pergunakan sebaik-baiknya dengan selalu mengisi waktu dalam ketaatan dan ibadah.

'Aisyah radhiyallahu 'anha berkata:

"Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam senantiasa berdzikir kepada Allah setiap waktu."
(HR. Muslim)

Ibnu Abbas radhiallaahu anhu mengungkapkan: "Kami pernah menghitung dzikir yang diucapkan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dalam satu majlis sebanyak seratus kali":

"Ya Allah, ampunilah aku, dan terimalah taubatku, sesungguhnya Engkau Maha menerima taubat lagi Maha Pengampun."
(HR. Abu Daud)

Abu Hurairah radhiallaahu anhu menuturkan: "Saya pernah mendengar Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda":

"Demi Allah, sesungguhya aku beristighfar dan bertaubat kepada Allah S.w.t lebih dari tujuh puluh kali dalam sehari."
(HR. Al-Bukhari)

Ibnu Umar radhiallaahu anhu berkata: "Kami pernah menghitung dzikir yang diucapkan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dalam satu majlis sebanyak seratus kali":

"Ya Allah, ampunilah aku, dan terimalah taubatku, sesungguhnya Engkau Maha menerima taubat lagi Maha Pengampun."
(HR. At-Tirmidzi)

Ummul Mukminin Ummu Salamah radhiyallahu 'anha mengungkapkan kepada kita sebuah doa yang sering diucapkan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bila berada di sisinya, sebagai berikut:

"Ya Allah, Yang membolak-balikkan hati teguhkanlah hatiku di atas agama-Mu."
(HR. At-Tirmidzi)


Pedoman:

  1. Zikir Harian Rasulullah s.a.w. dibawah ini berdasarkan hadis-hadis Nabi s.a.w. yang dapat dipertanggung-jawabkan kesahihannya. Setiap zikir disertakan sumber pengambilannya dan siapa yang meriwayatkannya supaya siapa saja yang mengamalkannya benar benar yakin dan tidak ragu lagi.

  2. Dan untuk memantapkan lagi keyakinan kita tentang keutamaan zikir-zikir tersebut, selain sumber pengambilannya juga disertakan maknanya dan fadhilatnya masing-masing.

  3. Zikir-zikir ini hendaklah di amalkan dua kali dalam sehari iaitu sekali di waktu pagi dan sekali lagi di waktu petang. Maksud waktu pagi ialab daripada sesudah Subuh hingga sebelum Zuhur, sedangkan waktu petang pula maksudnya daripada sesudah Asar bingga sebelum Isyak. jadi boleh diamalkan sesudah Asar atau sesudah Maghrib.
  4. Zikir-zikir pagi dan petang daripada Rasulullah s.a.w. sebenarnya sangat banyak. Di ruang ini dibentangkan hanya sebahagiannya saja. Namun demikian, jika zikir-zikir atau wirid serta doa ini di amalkan secara rutin dan yakin nescaya kita akan mendapat ganjaran sebagaimana yang telah dijanjikan, Insya Allah.


(1) Pagi dan Petang:

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيم
الـم
ذَلِكَ الْكِتَابُ لاَ رَيْبَ فِيهِ هُدًى لِّلْمُتَّقِينَ
اَلَّذِيْنَ يُؤْمِنُونَ بِالْغَيْبِ وَيُقِيْمُونَ الصَّلاَةَ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُـنْفِقُونَ
وَالَّذِيْنَ يُؤْمِنُونَ بِمَآ أُنْزِلَ إِلَيْكَ وَمَآ أُنْزِلَ مِنْ قَبْلِكَ، وَبِاْلأَخِرَةِ هُمْ يُوقِنُونَ
أُوْلَـئِكَ عَلَى هُدًى مِّنْ رَّ بِّهِمْ وَأُوْلَـئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

Alif, Laam, Miim.
Kitab (Al-Quran) itu tdak ada keraguan didalamnya, (sebagai) petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa.
(iaitu) orang-orang yang beriman kepada yang ghaib, dan mereka mendirikan solat, dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka.
Dan orang-orang yang beriman kepada apa yang telah diturunkan kepadamu (Al-Quran) dan Kitab-Kitab yang telah diturunkan sebelummu, dan mereka yakin terhadap hari Akhirat.
Mereka itulah orang-orang yang mendapat pertunjuk dari Tuhannya, dan mereka itulah orang-orang yang beruntung.
[Al Quran 2:1-5]


اللهُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومُ، لاَ تَأْخُذُهُ سِنَةٌ وَلاَ نَوْمٌ، لَهُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الأَرْضِ، مَنْ ذَا الَّذِي يَشْفَعُ عِنْدَهُ إِلاَّ بِإِذْنِهِ، يَعْلَمُ مَا بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَمَا خَلْفَهُمْ وَلاَ يُحِيطُونَ، بِشَىْءٍ مِنْ عِلْمِهِ إِلاَّ بِمَا شَآءَ، وَسِعَ كُرْسِيُّهُ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضَ، وَلاَ يَئُودُهُ حِفْظُهُمَا، وَهُوَ الْعَلِيُّ الْعَظِيمُ

Allah, tiada Tuhan melainkan Dia, Yang tetap hidup kekal mentadbir (sekalian makhlukNya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. KepunyaanNya segala apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi. Siapakah yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya. Allah mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki. Luasnya Kursi (ilmu dan kekuasaan) Allah meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah memelihara keduanya. dan Dia lah Yang Maha Tinggi lagi Maha Agung.
[Al Quran 2:255]


لآ إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ، قَدْ تَبَيَّنَ الرُّشْدُ مِنَ الْغَيِّ، فَمَنْ يَكْفُرْ بِالطَّاغُوتِ وَيُؤْمِنْ بِاللهِ فَقَدِ اسْتَمْسَكَ بِالْعُرْوَةِ الْوُثْقَى لاَ انْفِصَامَ لَهَا، وَاللهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Tidak ada paksaan dalam ugama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali ugama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
[Al Quran 2:256]


اللهُ وَلِيُّ الَّذِينَ ءَامَنُواْ يُخْرِجُهُم مِّنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّوُرِ، وَالَّذِينَ كَفَرُواْ أَوْلِيَآؤُهُمُ الطَّاغُوتُ يُخْرِجُونَهُمُ مِنَ النُّورِ إِلَى الظُّلُمَاتِ، أُوْلَـئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ، هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ

Allah Pelindung orang-orang yang beriman. Ia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman). Dan orang-orang yang kafir, penolong-penolong mereka ialah Taghut yang mengeluarkan mereka dari cahaya (iman) kepada kegelapan (kufur). Mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.
[Al Quran 2:257]


لِلَّهِ مَا فِى السَّمَاوَاتِ وَمَا فِى اْلأَرْضِ، وَاِنْ تُبْدُواْ مَا فِى أَنْفُسِكُمْ أَوْ تُخْفُوهُ يُحَاسِبْكُم بِهِ اللهُ، فَيَغْفِرُ لِمَنْ يَشَآءُ وَيُعَذِّبُ مَنْ يَشَآءُ، وَاللهُ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ

Kepunyaan Allah lah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hati kamu atau kamu memyembunyikannya, nescaya Allah akan menghitung dan menyatakannya kepada kamu. Kemudian Ia mengampunkan bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan menyeksa sesiapa yang dikehendakiNya, Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
[Al Quran 2:284]


ءَامَنَ الرَّسُولُ بِمَآ أُنزِلَ إِلَيْهِ مِن رَّبِّهِ وَالْمُؤْمِنُونَ، كُلٌّ ءَامَنَ بِاللهِ وَمَلَـئِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ لاَ نُفَرِّقُ بَيْنَ أَحَدٍ مِّن رُّسُلِهِ، وَقَالُواْ سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا، غُفْرَانَكَ رَبَّنَا وَإِلَيْكَ الْمَصِيرُ

Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, dan (demikian juga) orang-orang yang beriman; semuanya beriman kepada Allah, dan Malaikat-MalaikatNya, dan Kitab-KitabNya, dan Rasul-RasulNya. (Mereka berkata): "Kami tidak membeza-bezakan antara seorangpun dari Rasul-RasulNya". Mereka berkata lagi: "Kami dengar dan kami taat, ampunilah kami ya Tuhan kami, dan kepadaMu jualah tempat kembali".
[Al Quran 2:285]


لاَ يُكَلِّفُ اللهُ نَفْسًا إِلاَّ وُسْعَهَا، لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا اكْتَسَبَتْ، رَبَّنَا لاَ تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَآ أَوْ أَخْطَـأنَا، رَبَّنَا وَلاَ تَحْمِلْ عَلَيْنَآ إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِنَا، رَبَّنَا وَلاَ تُحَمِّلْنَا مَا لاَ طَاقَةَ لَنَا بِهِ، وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَآ، أَنتَ مَوْلاَنَا فَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir".
[Al Quran 2:286]

Fadhilatnya:
Siapa yang mengamalkan 10 ayat dari Surah Al Baqarah (diatas) pagi dan petang nescaya Syaitan tidak akan mendekatinya, dan tidak akan melihat perkara yang tidak diinginkan menimpa keatas keluarga dan hartanya.
[Sumber: Hadis dikeluarkan oleh Al Daramy dan Al Thabarany. Menurut pandangan Al Hakim, hadis ini sahih]


(2) Pagi dan Petang:

أَعُوذُ ِباللهِ مِنَ الشَّيطَانِ الرَجِيْمِ

(Dibaca 3 kali.)

هُوَ اللهُ الَّذِي لآ إِلَهَ إِلاَّ هُوَ عَالِمُ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ هُوَ الرَّحْمَنُ الرَّحِيمُ

Dia lah Allah, yang tidak ada Tuhan melainkan Dia; Yang Mengetahui perkara yang ghaib dan yang nyata; Dia lah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
[Al Quran 59:22]


هُوَ اللَّهُ الَّذِي لآ إِلَهَ إِلاَّ هُوَ الْمَلِكُ الْقُدُّوسُ السَّلاَمُ الْمُؤْمِنُ الْمُهَيْمِنُ الْعَزِيزُ الْجَبَّارُ الْمُتَكَبِّرُ سُبْحَانَ اللهِ عَمَّا يُشْرِكُونَ

Dia lah Allah, yang tidak ada Tuhan melainkan Dia; Yang Menguasai (sekalian alam); Yang Maha Suci; Yang Maha Selamat Sejahtera; Yang Maha Melimpahkan Keamanan; Yang Maha Pengawal serta Pengawas; Yang Maha Kuasa; Yang Maha Kuat; Yang Melengkapi segala KebesaranNya. Maha Suci Allah dari segala yang mereka sekutukan denganNya.
[Al Quran 59:23]


هُوَ اللهُ الْخَالِقُ الْبَارِئُ الْمُصَوِّرُ لَهُ اْلأَسْمَاءُ الْحُسْنَى يُسَبِّحُ لَهُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ، وَهُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ

Dia lah Allah, Yang Menciptakan sekalian makhluk; Yang Mengadakan (dari tiada kepada ada); Yang Membentuk rupa (makhluk-makhlukNya menurut yang dikehendakiNya); bagiNyalah nama-nama yang sebaik-baiknya dan semulia-mulianya; bertasbih kepadaNya segala yang ada di langit dan di bumi; dan Dia lah Yang tiada bandingNya, lagi Maha Bijaksana.
[Al Quran 59:24]

Fadhilatnya:
Siapa yang membaca 3 kali Ta'awuz dan kemudian diikutinya dengan membaca 3 Ayat dari Surah Al Hasyr (diatas) pada waktu pagi nescaya Allah akan mengutus 70,000 Malaikat supaya berselawat kepadanya hingga ke petang dan jika dia mati pada hari itu nescaya dia mendapat ganjaran mati syahid. Demikian juga ganjaran yang serupa baginya pada waktu petang.
[Sumber: Hadis dikeluarkan oleh Imam Ahmad dalam musnadnya dan Al Daramy. Menurut Imam Tarmidzi: Hadis Hasan Gharib. Lihat kitab Amal Al Yauum Wa Al Lail Ibnu Sunni; Hadis No. 681, Hal 240]


(3) Pagi 3 kali dan Petang 3 kali :

بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لاَ يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَىْءٌ فِى الأَرْضِ وَلاَ فِي السَّمَاءِ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

"Dengan nama Allah, yang (berkat) namaNya tidak ada satu pun yang boleh mendatangkan bahaya, samada di bumi ataupun di langit, dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengasihani."

Fadhilatnya:
Siapa yang membacanya 3 kali diwaktu pagi dan 3 kali diwaktu petang nescaya Allah akan menjauhkan daripadanya segala perkara yang berbahaya dan dia tidak akan ditimpa oleh musibah yang mengejut atau tiba-tiba.
[Sumber: Hadis riwayat Abu Daud - Menurut Al Hakim dan Al Zahabi: Hadis Sahih. Dan menurut Syeikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Bazz dalam kitabnya Tuhfatul Akhyar: Sanadnya Hasan]


(4) Pagi 3 kali dan Petang 3 kali :

رَضِيْتُ بِاللهِ رَبًّا وَبِاْلاِسْلاَمِ دِيْنًا وَبِمُحَمَّدٍ رَسُوْلاً

"Aku redha Allah sebagai Tuhanku, dan Islam sebagai agamaku, dan Nabi Muhammad s.a.w. sebagai Rasulku."

Fadhilatnya:
Siapa yang membacanya 3 kali diwaktu pagi dan 3 kali diwaktu petang nescaya ia berhak mendapat keredhaan Allah SWT pada hari Kiamat.
[Sumber: Hadis riwayat Imam Ahmad, Nasaai, Abu Daud dan Tarmidzi - Menurut Syeikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Bazz dalam kitabnya Tuhfatul Akhyar Hal. 39: Hadis Hasan]


(5) Pagi sahaja 3 kali :

سُبْحَانَ اللهِ وَبِحَمْدِهِ عَدَدَ خَلْقِهِ وَرِضَا نَفْسِهِ وَزِنَةَ عَرْشِهِ وَمِدَادَ كَلِمَاتِهِ

"Maha Suci Allah dan pujian (untuk)-Nya sebanyak bilangan makhluk ciptaanNya, seluas keredhaan diri-Nya, seberat timbangan 'Arasy-Nya dan sebanyak tinta Kalimah-Nya."

Fadhilatnya:
Siapa yang membacanya 3 kali diwaktu pagi setelah solat Subuh berjemaah nescaya ia akan mendapat ganjaran sama dengan seorang yang solat dan berdzikir dirumahnya sejak Subuh hingga waktu Dhuha.
[Sumber: Hadis Sahih riwayat Imam Muslim]


(6) Pagi dan Petang dan ketika akan tidur :

اَللَّهُمَّ عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشّهَادَةِ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ، رَبَّ كُلِّ شَىْءٍ وَمَلِيْكَهُ، أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَـهَ إِلاَّ أَنْتَ ، أَعُوْذُ بِكَ مِن شَرِّ نَفْسِي وَمِن شَرِّ الشَّيْطَانِ وَشِرْكِهِ

"Ya Allah, Yang Maha Mengetahui perkara yang ghaib dan perkara yang nyata, Yang Maha Pencipta langit dan bumi, Tuhan segala sesuatu dan Rajanya; aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Engkau, aku memohon perlindungan Mu daripada segala kejahatan diriku dan kejahatan Syaitan dan sekutu-kutunya."

[Sumber: Hadis Riwayat Abu Daud. Menurut Al Hakim dan Al Zahaby dan An Nawawi didalam Al Azkaar: Hadis Sahih dan menurut At Tarmidzi: Hadis Hasan Sahih.]


(7) Pagi dan Petang :

اَللَّهُمَّ إِنِّىْ أَسْئَالُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِى الدُّنْيَا وَاْلآخِرَةِ، اَللَّهُمَّ إِنِّىْ أسْئَالُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِيْ دِيْنِى وَدُنْيَايَ وَأَهْلِى وَمَالِى، اَللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِى وَآمِنْ رَوْعَاتِى، اَللَّهُمَّ احْفَظْنِى مِنْ بَيْنِ يَدَيَّ وَمِنْ خَلْفِى وَعَنْ يَمِيْنِى وَعَنْ شِمَالِى، وَمِنْ فَوْقِى، وَأَعُوْذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ أُغْتَالَ مِن تَحْتِى

"Ya Allah, aku bermohon kepada Mu kesejahteraan didunia dan diakhirat; Ya Allah, aku bermohon kepada Mu kema'afan dan kesejahteraan pada agamaku, pada duniaku, pada keluargaku dan pada hartaku; Ya Allah, tutuplah segala ke'aibanku dan tenteramkanlah kegelisahanku; Ya Allah, peliharalah aku daripada (musibah) yang datang dari arah hadapanku, dari arah belakangku, dari arah kananku, dari arah kiriku, dari arah atasku, dan aku bermohon perlindungan dengan (berkat) keAgungan Mu daripada ditelan oleh bumi yang berada dibawahku."

[Sumber: Hadis Riwayat Abu Daud, An Nasaai, Ibnu Majah. Menurut Al Hakim dan Al Zahaby dan An Nawawi didalam Al Azkaar: Hadis Sahih.]


(8) Pagi dan Petang :

يـَا حَيُّ يـَا قَيُّوْمُ بِرَحْمَتِكِ أَسْتَغِيْثُ، فَأَصْلِحْ لِى شَأْنِى كُلَّهُ، وَلاَ تَكِلْنِي إِلَى نَفْسِى طَرْفَةَ عَيْنِ
"Ya (Allah) Yang Maha Hidup lagi Maha Mengurus segala makhluk, kepada Engkau sajalah aku bermohon pertolongan, oleh itu perbaikilah semua urusanku, dan janganlah Engkau biarkan aku walaupun untuk seketika."

[Sumber: Bacaan ini adalah wasiat Rasulullah s.a.w. kepada anak perempuannya Fatimah untuk diamalkan pagi dan petang. Menurut Al Hakim dan Al Zahaby dalam Kitab SahihutTarghib wa Tarhib I : Hadith ini Sahih.]


(9) Pagi dan Petang :

اَللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّى لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ، خَلَقْتَنِي وَأَناَ عَبْدُكَ، وَأَناَ عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ، أَعُوْذُبِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ، أَبـُوْءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ، وَأَبـُوْءُ بِذَنْبِي فَاغْفِرْ لِى، فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنـُوْبَ إِلاَّ أَنْتَ

"Ya Allah, Engkaulah Tuhanku, tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Engkau. Engkau telah jadikan aku dan aku adalah hambaMu, aku akan sentiasa mematuhi perjanjianMu sesuai dengan kemampuanku. Aku berlindung denganMu daripada kejahatan apa yang aku perbuat, aku mengaku sekian banyak nikmat yang telah Engkau limpahkan kepadaku, dan aku juga mengaku sekian banyak dosaku (kepadaMu), oleh itu ampunilah dosa-dosaku, kerana tidak ada kuasa yang boleh mengampuni dosa kecuali Engkau."


Fadhilatnya
Bacaan ini dinamakan oleh Rasulullah s.a.w. Penghulu segala Istghfar. Siapa yang membacanya diwaktu pagi dengan penuh keyakinan lalu ia mati sebelum malam, maka dia akan masuk Syurga. Dan siapa yang membacanya diwaktu malam, lalu ia mati sebelum paginya, maka ia akan masuk Syurga.
[Sumber: Hadith Sahih riwayat Imam Bukhari.]


(10) Pagi dan Petang :

اَللَّهُمَّ إِنِّىْ أَعُوذُبِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ وَأَعُوذُبِكَ مِنَ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ، وَأَعُوذُبِكَ مِنَ الْجُبْنِ وَالْبُحْلِِ، وَأَعُوذُبِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الْرِّجَالِ

"Ya Allah, ya Tuhan ku, Aku mohon perlindungan denganMu dari keluh kesah dan dukacita, dari lemah dan malas, dan aku berlindung denganMu dari sifat pengecut dan bakhil, dan aku berlindung denganMu dari dibebani hutang dan ancaman (penindasan) manusia."


Fadhilatnya
Siapa yang mengamalkannya Pagi dan Petang nescaya Allah akan hilangkan perasaan gundahnya dan Allah akan menolongnya terlepas dari bebanan hutangnya.
[Sumber: Hadith ini diriwayatkan oleh Abu Daud daripada Abi Said Al Khudry. Menurut Imam An Nawawi dalam Kitab Al Azkaar : Hadis Hasan.]


(11) Pagi dan Petang :

سُبْحَانَ اللهِ وَبِحَمْدِهِ، وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ اِلاَّ بِاللهِ، مَاشَاءَ اللهُ كَانَ، وَمَالَمْ يَشَأْ لَمْ يَكُنْ، أَعْلَمُ أَنَّ اللهَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍقَدِيْرٌ وَأَنَّ اللهَ قَدْ أَحَاطَ بِكُلِّ شىْءٍ عِلْمًا

"Ya Allah, Maha Suci Allah dan segala pujian (untuk)Nya, tiada daya dan tiada kekuatan melainkan dengan (izin) Allah, apa saja yang Allah kehendaki (pasti akan) berlaku, dan apa saja yang Dia tidak kehendaki (pasti) tidak akan berlaku, aku sungguh mengetahui bahawa Allah Maha Berkuasa keatas tiap-tiap sesuatu, dan sesungguhnya ilmu Allah mencakupi segala sesuatu."


Fadhilatnya
Siapa yang membaca bacaan diatas diwaktu pagi nescaya dia akan dipelihara oleh Allah hingga ke petang, dan siapa yang membacanya diwaktu petang nescaya Allah akan memeliharanya hingga ke pagi.
[Sumber: Hadith ini diriwayatkan oleh Abu Daud, Ibnu Majah, Ahmad dan Tarmidzi. Menurut Tarmidzi : Hadith Hasan Gharib. Menurut Al Hakim dan Al Zahaby : Hadith Sahih.]


(12) Pagi 3 kali dan Petang 3 kali :


قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ
اللَّهُ الصَّمَدُ
لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ
وَلَمْ يَكُن لَّهُ كُفُوًا أَحَدٌ

Katakanlah : "Dialah Allah, Yang Maha Esa,
Allah adalah Tuhan yang bergantung kepadaNya segala sesuatu,
Dia tidak beranak dan tidak pula diperanakkan,
dan tidak ada seorang pun yang setara dengan Dia".
[Al Quran 112:1-4]


قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ
مِن شَرِّ مَا خَلَقَ
وَمِن شَرِّ غَاسِقٍ إِذَا وَقَبَ
وَمِن شَرِّ النَّفَّاثَاتِ فِي الْعُقَدِ
وَمِن شَرِّ حَاسِدٍ إِذَا حَسَدَ

Katakanlah : "Aku berlindung kepada Tuhan yang Menguasai Subuh,
dari kejahatan makhlukNya (yang jahat),
dan dari kejahatan malam apabila telah gelap gelita,
dan dari kejahatan wanita-wanita yang menghembus pada simpulan tali (tukang sihir),
dan dari kejahatan orang yang dengki apabila ia dengki".
[Al Quran 113:1-5]


قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ
مَلِكِ النَّاسِ
إِلَهِ النَّاسِ
مِن شَرِّ الْوَسْوَاسِ الْخَنَّاسِ
الَّذِي يُوَسْوِسُ فِي صُدُورِ النَّاسِ
مِنَ الْجِنَّةِ وَ النَّاسِ

Katakanlah : "Aku berlindung kepada Tuhan Pemelihara manusia,
Raja manusia,
Tuhan manusia,
dari kejahatan Syaitan yang bersembunyi,
yang membisikkan (kejahatan) kedalam dada manusia,
dari (golongan) jin dan manusia.
[Al Quran 114:1-6]"



Fadhilatnya
Siapa yang membaca surah Al Ikhlas, Al Falaq dan Al Naas sebanyak 3 kali diwaktu pagi dan 3 kali diwaktu petang nescaya ketiga-tiganya akan mencukupi kamu (untuk mendapat pemeliharaan Allah) daripada segala sesuatu (yang tidak di inginkan.
[Sumber: Hadith ini diriwayatkan oleh Abu Daud, Ibnu Majah dan Tarmidzi. Sanadnya Sahih. Menurut Tarmidzi : Hadith Hasan. Lihat Kitab Al Azkaar.]

No comments: