Sunday, May 4, 2008

Muqaddimah

بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمـَنِ الرَّحِيم

ALQURAN terdiri dari 30 juz, 114 surah, 6236 ayat, 79911 kalimat (perkataan), dan 324879 huruf; 86 surah diturunkan di Makkah (4623 ayat) mengandungi masalah aqidah; 28 surah diturunkan di Madinah (1623 ayat) mengandungi 200 ayat-ayat hukum. Sebanyak 77439 kalimah/perkataan itu berasal daripada 9408 perkataan dasar/akar (root word) yang berulang-ulang.

Al-Quran itu diturunkan dalam bahasa Arab 1426 tahun (H) dahulu. Untuk menghafal terjemahan al-Quran, kita mesti mengetahui terlebih dahulu bahasa Arab secara asas. Melalui blog ini, kita mempelajarinya secara terpadu, iaitu dengan mengenal dan memahami bentuk-bentuk kalimah dan dijadikan pedoman dalam memberi terjemahan yang betul bagi tiap-tiap kalimah, perkataan demi perkataan mengikut prinsip-prinsip asas tatabahasa bahasa Arab Al-Quran.

Nota: Ilmu Syaraf ( morfologi Arab الصَّرْفِ ) ialah Ilmu pengetahuan yang menghuraikan tentang bentuk asal kata, maka dengan ilmu ini dapat dikenal kata dasar/akar (root word) dan kata bentukan, dikenal pula kata kerja yang sesuai dengan masa.

Kerangka pembelajaran menterjemah secara harfiyah ini mengandungi dua bahagian:

A. Pelajaran Menterjemah

  • Bimbingan untuk memberi makna asal yang betul bagi setiap kalimah/perkataan/ lafaz al-Quran
  • Bimbingan untuk memberi makna asal yang betul bagi setiap rangkap Ayat al-Quran
  • Memahami maksud setiap rangkap Ayat yang dibaca mengikut uslub/susunan bahasa Arab
  • Pemindahan maksud dari uslub bahasa Arab kepada bahasa Melayu

B. Ilmu Tatabahasa

  • Pedoman mengenai bentuk kalimah/perkataan/lafaz al-Quran
  • Pedoman dan cara memberi makna yang betul
  • Ilmu asas Syaraf ( الصَّرْفِ ), Nahu dan huraiannya

PRA-SYARAT BELAJAR

Pelajaran ini boleh di ikuti oleh semua yang berminat dengan syarat:

  • Boleh membaca Ayat-Ayat al-Quran
  • Boleh menulis dan membaca tulisan Rumi dan Jawi
  • Sanggup belajar secara berterusan (istiqamah)

Bagi mereka yang baru memulai pelajaran menterjemah ini, hendaklah menggunakan kitab al-Quran yang asli yang berbahasa Arab - jangan gunakan kitab yang ada terjemahan didalamnya.

Sila mulakan dengan membaca sendiri lafadz-lafadz kalimah dan ayat yang dipelajari.

Selepas membaca beberapa kali, sila perhatikan dengan teliti lafadz-lafadz yang telah dicerai-ceraikan diruangan senarai KALIMAH dan TERJEMAHAN, ingat dan hafalkan makna setiap kalimah menurut susunannya.



MENGAPA MENGHAFAL KATA-KATA?

Adalah satu kenyataan bahawa kanak-kanak tidak mula belajar bahasa ibu mereka dengan tatabahasa. Lebih tepat lagi, mereka belajar kata-kata dan mula bercakap dengan koleksi kata-kata yang ada dalam memori mereka. Mereka terus menerus belajar dan memahami makna kata-kata baru dan menghafalnya. Seterusnya mereka mengambil dari sumber perbendaharaan kata (vokabulari) mereka, bila-bila diperlukan, untuk menyatakan perasaan mereka. Jadi, membina vokabulari yang cukup besar haruslah merupakan langkah pertama untuk kita mempelajari sesuatu bahasa yang lain.

Selanjutnya, kita harus belajar penggunaan kata-kata itu secara tepat. Kata-kata dengan dua atau lebih makna boleh menimbulkan beberapa kesulitan, tetapi boleh diatasi dengan penggunaan kaedah tertentu. Ada banyak perkataan dalam Bahasa Arab yang mempunyai beberapa makna, tetapi anda tidak perlu bimbang tentang perkara ini. Diperingkat permulaan, anda hanya perlu cuba untuk menghafal makna khususnya, sesuai dengan penggunaan yang sempurna seperti yang dicontohkan dalam Al-Quran.

Saya menyarankan anda mengikuti pelajaran-pelajaran tentang tatabahasa Bahasa Arab Al-Quran secara ringkas seperti yang dibentangkan dalam lamanweb ini secara berhati-hati, termasuk panduan-panduan menterjemah yang diselang-selikan dengan pelajaran-pelajaran menterjemah Al-Quran ayat demi ayat bermula dengan pelajaran menterjemah lafaz-lafaz dari Surah 1, iaitu dengan terlebih dahulu menghafal makna perkataan-perkataannya secara berperingkat-peringkat sebelum berpindah ke laman kitab Al-Quran untuk menterjemah ayat-ayat yang berkenaan. Untuk kepuasan anda, bandingkan terjemahan anda dengan beberapa kitab terjemahan Al-Quran yang telah diktiraf (popular). Dengan demikian, rasa takut membuat kesalahan akan menghilang, dan anda akan didorong untuk meneruskan pengajian secara beristiqamah. Akhirnya akan datang suatu masa apabila anda akan mampu menterjemah ayat-ayat Al-Quran secara terus. Setelah mencapai tahap ini, anda akan memahami makna dan maksud Al-Quran itu ketika anda membacanya, insya-Allah.

Hati anda akan merasakan kesucian Ilahi dan terpesona dengan keanggunan sastera Al-Quran yang menawan. Jangan lupa bahawa saat anda hendak membaca Al-Quran, pastikan anda berdoa kepada Allah untuk membantu anda bertindak sesuai dengan ajaran-ajarannya. Perlu diingat bahawa Allah adalah Guru Al-Quran. Tanpa bantuan-Nya, tidak ada yang mungkin berhasil dan semua usaha kita akan berakhir dengan sia-sia. Allah mendengar semua doa kita, oleh itu selalulah berdoa kepada-Nya untuk mendapatkan bimbingan dan pengetahuan. Wassalaam!


BUKU RUJUKAN

Kursus Menterjemah Al-Quran

SUSUNAN

Ustaz H. Hashim A. Ghani
Kuala Pilah NS

KATA-KATA ALUAN

BismillahirRahmanirRahim

Alhamdulillah, saya menyatakan syukur kepada Allah atas adanya usaha penyiaran erti dan terjemahan Al-Quran ini dari Bahasa Arab kepada Bahasa Melayu dengan cara yang sesuai dan munasabah dengan zaman, apatah lagi banyak angkatan muda zaman kini yang amat memfardukannya.

Usaha dari Tuan Hashim A. Ghani ini adalah usaha yang mulia dan amat berfaedah. Moga-moga kiranya Allah SWT memberi ganjaran atas iman dan amal soleh ini. Amien.


2 Oktober, 1978
ABDUL MALIK BIN ABD. KARIM AMIRULLAH AL-HAJ (HAMKA)

5 comments:

Dzarra_Mrs. Dino said...
This comment has been removed by the author.
Dzarra_Mrs. Dino said...

Alhamdullillah...
Bagus dan bersetuju sangat dengan idea mewujudkan blog penterjemahan Al-Quran ni... sekurang-kurangnya kita dapat belajar mengaji sambil mengkaji maksud2 isi kandung ayat2 suci didalam Al-Quran. Kerana setiap huruf2 & ayat2 ada maksud2 tertentu.

Saim Abu said...

Slm.Minta izin dari tuan untuk menimba apa yang ada dari laman blog tuan ini.

mannerohardy said...

Assalamualaikum ...

aku ingin belajar memahami maksud AL-QURAN ni ..terima kasih atas jasa baik budi tuan kerana menulis ilmu yang begitu indah seperti ini ....

adnanba said...

Saya dah muaturun dan cd kan kesuluruhan pembelajaran ini. Kini anda boleh belajar tanpa perlu internet connection. Kalau anda interested nyatakan alamat pos sdr ke email saya di adnan1944@gmail.com
Bayaran kemudian, selepas and confirm berpuashati dan bermanafaat untuk anda dan keluarga.